AmBank cuba batal saman Najib berhubung dedah butiran akaun

Bekas perdana menteri, Najib Razak.

KUALA LUMPUR: AmBank memfailkan permohonan untuk membatalkan tuntutan bekas perdana menteri Najib Razak atas dakwaan kecuaian dalam mendedahkan butiran akaun banknya kepada individu tanpa kebenaran.

Bank itu dan anak syarikatnya, AmIslamic Bank, berusaha membatalkan saman atas alasan tuntutan Najib tiada alasan yang munasabah.

“Tuntutan plaintif (Najib) difailkan untuk tujuan cagaran, iaitu menghalang dan mengganggu prosiding SRC International yang dimulakan terhadapnya.

“Oleh itu, tindakan ini menggangu proses mahkamah,” kata AmBank dalam permohonannya yang difailkan bulan ini.

Bekas kakitangan bank itu, Joanna Yu juga berusaha membatalkan saman itu pada Januari. Yu adalah pengurus perhubungan yang bertanggungjawab menguruskan akaun Najib.

Beliau mendakwa tuntutan Najib mengganggu proses mahkamah dan untuk menyokong pembelaannya membabitkan kes SRC International.

Mahkamah Tinggi akan mendengar permohonan Yu untuk membatalkan tuntutan itu pada 15 April.

Najib memfailkan tuntutan terhadap Yu dan AmbBank pada Disember lalu, mendakwa mereka melanggar tanggungjawab untuk melindungi privasinya di bawah undang-undang perbankan seperti Akta Perkhidmatan Kewangan dan Akta Institusi Perbankan dan Kewangan.

Najib mendakwa Yu mendedahkan maklumat 4 daripada 5 akaun banknya kepada ahli perniagaan buruan Low Taek Jho atau Jho Low, yang mana menurut Najib bukan individu yang diberi kuasa untuk menguruskan akaunnya.

Beliau turut mendakwa Yu bertindak atas nasihat Low seperti menggunakan nama alternatif untuk akaunnya yang berakhir dengan angka 694, 880, 898 dan 906, untuk mendapatkan nasihat meluluskan cek di bawah 4 akaun ini, dan mengambil langkah menyembunyikan penyata akaun bank daripadanya.

“Berikutan kecuaian bank dan Yu dalam melindungi kerahsiaan akaun, individu tanpa kebenaran memanipulasi akaun plaintif tanpa pengetahuannya.

“Ini menyebabkan serangan politik terhadap pemegang akaun dan seterusnya pemegang akaun didakwa di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah, Kanun Keseksaan dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (Amla), dalam kes SRC,” kata Najib, merujuk kepada kes SRC International yang dihadapinya.

Beliau menuntut ganti rugi teruk dan khas daripada Yu dan bank tersebut.