Atasi kekurangan ‘hand sanitizer’, kilang di UK hasilkan sejuta botol sedang dibina

Kekurangan hand sanitizer akan dapat diatasi dalam masa terdekat dengan pembinaan kilang di UK yang sasarkan pengeluaran sejuta botol.

Kekurangan bekalan cecair pembasmi kuman atau hand sanitizer serta topeng hidung dan mulut terus menyelebungi seluruh dunia.

Sehubungan itu sebuah kilang akan dibina di United Kingdom (UK) dalam tempoh 10 hari lagi untuk menghasilkan sejuta botol cecair tersebut dalam masa sebulan.

Menurut laporan Dailystar, INEOS salah sebuah syarikat pembuatan terbesar di dunia berkata kilang itu akan membantu mengatasi masalah kekurangan bekalan cecair tersebut semasa pandemik Covid-19.

Menurut syarikat itu, cecair pembasmi kuman tersebut akan dihasilkan mengikut spesifikasi Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) bagi membunuh bakteria dan virus.

INEOS adalah pengeluar utama Eropah untuk 2 bahan mentah utama iaitu isopropil alkohol (IPA) dan etanol yang diperlukan bagi menghasilkan cecair pembasmi kuman.

Bekalan cecair itu akan diberikan secara percuma kepada hospital NHS manakala orang ramai boleh mendapatkan cecair tersebut dalam kemasan botol kecil di pasaran.

Jumlah kematian akibat wabak Covid-19 kini melebihi 15,000 kes di seluruh dunia dengan angka tertinggi dicatatkan di Eropah, iaitu sebanyak 9,197 kematian.

Itali antara negara yang paling teruk diserang wabak itu dengan 5,476 kematian, diikuti China, tempat wabak itu bermula tahun lalu dengan 3,270 kematian dan Sepanyol sebanyak 2,182 kematian.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]