Henti beri peruntukan banyak kepada wakil rakyat, kata bekas ahli Parlimen

Kerajaan Selangor dilaporkan berkata, ia adalah amalan biasa untuk menyalurkan peruntukan kepada penyelaras atau orang dipercayai bagi kerusi pembangkang. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Seorang bekas ahli Parlimen menggesa kerajaan persekutuan dan negeri berhenti memberi dana pembangunan yang banyak kepada wakil rakyat atau penyelaras kawasan pilihan raya kerana ini akan menyebabkan pengundi terpaksa tunduk kepada ahli Parlimen dan Adun.

“Amalan ini menjadikan ahli Parlimen dan Adun sebagai pemerintah feudal dan ironinya rakyat yang memilih mereka perlu ‘kowtow’ kepada mereka untuk wang serta pembangunan,” kata Dr Michael Jeyakumar Devaraj, ahli Parlimen Sungai Siput selama 2 penggal.

Beliau mencadangkan wakil rakyat sebaliknya diberikan peruntukan untuk meneruskan operasi pusat khidmat mereka dan bantuan kewangan segera jika berlaku kecemasan.

“Tetapi, peruntukan untuk pembangunan perlu disalurkan kepada pejabat daerah dan digunakan berdasarkan keperluan rakyat di kerusi Dewan Undangan Negeri dan Parlimen masing-masing,” katanya kepada FMT.

Jeyakumar berkata demikian susulan laporan kerajaan Selangor menyalurkan peruntukan bantuan Covid-19 kepada penyelaras kerusi pembangkang, bukannya diberikan terus kepada Adun.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, ia adalah amalan biasa untuk menyalurkan peruntukan bagi kerusi pembangkang kepada penyelaras atau orang yang dipercayai.

Jeyakumar yang juga pengerusi Parti Sosialis Malaysia, berkata tugas wakil rakyat ialah membahas dasar dan memastikan kerajaan melaksanakan cadangan demi manfaat rakyat, tanpa mengambil kira siapa yang disokong pengundi.

“Amalan sekarang dibuat untuk menjadikan wakil rakyat kekal popular dalam kalangan pengundi mudah terpedaya. Ia turut memperluaskan jurang antara wakil rakyat dan pengundi.

“Peruntukan kewangan untuk pembangunan dan keperluan lain daripada pembayar cukai, bukannya kerajaan pemerintah, oleh itu pengagihan perlu sama rata.”

Jeyakumar berkata, ahli Parlimen dan Adun pembangkang yang tidak berpuas hati dengan diskriminasi sedemikian boleh mendapatkan keadilan di mahkamah.

“Mereka boleh cuba merujuk penghakiman Mahkamah Persekutuan pada 2013 dalam kes saya yang sudah tewas itu, tetapi saya mahu mengingatkan sesiapa saja untuk membuat kajian sebelum memfailkan saman.”

Katanya, mereka perlu memohon peruntukan terlebih dahulu dan menjejaki wang yang sepatutnya diberikan kepada kawasan masing-masing.

Jeyakumar yang dipilih sebagai ahli Parlimen pada 2008, memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 2010 untuk mencabar keputusan pengarah Pejabat Pembangunan Perak menolak permohonannya mendapatkan dana bagi SMJK Shin Chung, SJK Methodist dan rumah anak yatim Nurul Ihsan, serta dana bagi projek kecil demi manfaat Orang Asli.

Beliau memohon pengisytiharan berdasarkan Perkara 8 (1) Perlembagaan Persekutuan, di mana peruntukan khas kawasan pilihan raya perlu diberikan kepada semua ahli Parlimen secara saksama tanpa mengambil kira parti mereka.

Ketua Hakim Negara ketika itu, Raus Sharif dilaporkan berkata, mahkamah tidak mempunyai maklumat atau kepakaran untuk mempertimbangkan dasar itu yang diputuskan kerajaan Perak dan persekutuan.