KDN: Wujud salah guna permit perkhidmatan penting ketika perintah kawalan

Polis dan ATM dikerah untuk mengadakan sekatan jalan raya sepanjang perintah kawalan pergerakan sehingga 14 April ini.

PETALING JAYA: Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin memaklumkan wujud salah guna permit yang diberikan Putrajaya kepada pihak yang menjalankan perkhidmatan penting ketika negara melaksanakan perintah kawalan pergerakan.

Hamzah berkata, ia berlaku ketika rakyat sudah mula menyedari pentingnya untuk mereka terus berada di rumah semasa perintah kawalan sehingga 14 April depan, walaupun pada permulaan perintah ini mendapat reaksi berbeza daripada rakyat.

“Masalah yang lebih besar adalah, apabila perkhidmatan-perkhidmatan penting, pertamanya yang membawa makanan memang kita benarkan (untuk terus beroperasi), mula-mula betul kemudian kita nampak ada yang salah gunakan.

“Saya beri pandangan pada polis, kalau macam ini caranya kita perlu lebih tegas, supaya benar-benar dapat permit yang dikeluarkan daripada syarikat logistik serta dapat kebenaran dari jawatankuasa khusus yang dikeluarkan oleh anggota Kabinet.

“Ini semua memudahkan perjalanan, perkhidmatan, supaya rantaian bekalan makanan yang kita ada hendaklah dihantar ke supermarket dibuat dengan sebaik mungkin, jangan salah guna permit yang kita berikan,” katanya dalam forum ‘Covid-19 Perintah Kawalan Pergerakan, malam ini.

Hamzah berkata, sejak perintah kawalan dilaksanakan, kira-kira 38,000 atau 30% anggota polis seluruh negara dikerahkan untuk membantu kerajaan melaksanakan sekatan jalan raya di seluruh negara, yang menurutnya merupakan bilangan yang besar.

“Kita ada anggota polis seramai 130,000, daripada jumlah ini, 30% sudah kita gunakan untuk operasi Covid-19. Sudah tentu ada mereka yang terjebak dalam wabak ini.

“Namun Alhamdulillah hanya 17 daripada 38,000, dan bukan semuanya anggota polis. 38,000 itu adalah angka yang besar kerana kita bukan sahaja hendak jaga Covid-19 tetapi juga perairan negara, jenayah dan tugasan-tugasan lain yang diberikan kepada polis.
“Sebenarnya angka 30% itu sudah sampai ke tahap merah kerana ia menyebabkan tugasan lain longgar, contohnya perairan negara, sempadan, semua itu perlu kita ambil tugasan,” katanya.

Tambah Hamzah, disebabkan itu dengan adanya bantuan daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), ia bukan sahaja meringankan beban polis malah dapat memperhebatkan lagi operasi sekatan jalan raya di seluruh negara.

“Dengan adanya ATM jumlah anggota yang kita letakkan di operasi sekatan jalan raya adalah seramai 6 orang, kalau sudah ada bantuan dari ATM, kita boleh letakkan 3 anggota polis dan 3 anggota ATM dan jika sebelum ini 5,000 sekatan jalan raya boleh dilakukan, kali ini boleh adakan 10,000 sekatan jalan raya,” katanya.

Katanya lagi, rakyat juga diminta tidak membuat andaian yang tidak berasas bahawa pendatang asing tanpa izin (PATI) disyaki positif Covid-19 dan menggesa pihak berkuasa untuk segera memberkas mereka ini.

“Ramai yang kata PATI terlibat Covid-19, betul ke, jangan buat orang ramai lebih takut, kita sentiasa tegas. Jika kita dapat, kita tangkap. Hari ini sahaja di depoh imigresen lebih 10,000 orang yang kita sudah tangkap atas pelbagai kesalahan.

“Orang asing dalam penjara kita sahaja ada 16,000 orang. Ini membuktikan ramai yang kita tangkap, jadi jangan buat kesimpulan bukan-bukan. Apa yang penting adalah kita perlu saling bekerjasama, rakyat perlu terus membantu sekiranya mempunyai maklumat,” katanya.