Keluarga terkandas di India rayu Wisma Putra bawa mereka pulang
Mereka mula kehabisan wang tunai berikutan bilik hotel berharga RM310 sehari setiap hidangan makanan berharga RM200 hingga RM250.
PETALING JAYA: Keluarga yang terdiri daripada 16 rakyat Malaysia yang terkandas di Punjab sejak Sabtu lalu, merayu Wisma Putra membawa mereka dan rakyat Malaysia lain pulang ke tanah air.
Mereka terkandas di India selepas kerajaan negara itu menggantung penerbangan komersial antarabangsa ke negara itu bagi mengekang penyebaran Covid-19.
Jetinder Singh, 28, berkata beliau bersama anak saudara, sepupu, ibu saudara, bapa saudara dan neneknya terbang ke Punjab dari Kuala Lumpur pada 7 Mac, sebelum Malaysia mengenakan perintah kawalan pergerakan pada 18 Mac.
“Bagi kebanyakan kami, ini adalah perjalanan kali pertama ke India.
“Kami datang ke sini sebagai sebahagian daripada lawatan ziarah dan bersiar-siar tetapi ia bertukar menjadi mimpi buruk,” katanya kepada FMT dari bilik hotelnya di Amritsar, Punjab.
Jurutera itu berkata mereka sepatutnya pulang ke Kuala Lumpur pada 21 Mac pada jam 11.20 malam waktu India.
“Tetapi sejak 17 Mac, kami membaca laporan penerbangan ke India dibatalkan bagi membendung penyebaran coronavirus secara global,” katanya.
Beliau berkata, mereka menghubungi kedutaan Malaysia di New Delhi pada 18 Mac dan memberikan butiran peribadi dan nombor penerbangan mereka.
Selepas itu, beliau berkata, mereka tidak mendengar sebarang khabar daripada kedutaan mengenai nasib mereka.
Beliau berkata selepas dibiarkan berteka-teki, mereka pergi ke lapangan terbang antarabangsa di Amritsar pada 19 Mac untuk mendapatkan butiran mengenai penerbangan yang sepatutnya mereka naiki namun diberitahu penerbangan itu dibatalkan berikutan perintah berkurung di Punjab.
Jetinder berkata, mereka mendengar mengenai penerbangan dari Mumbai dan Madras ke Malaysia tetapi “kami akan mengambil masa kira-kira 40 hingga 50 jam untuk sampai ke sana dengan kereta dan kami tidak boleh melakukannya kerana perintah berkurung”.
Beliau berkata mereka pergi semula ke hotel sementara menunggu maklumat mengenai penerbangan. Pada 23 Mac, kakitangan hotel memberitahu mereka premis itu akan ditutup serta-merta berikutan perintah berkurung.
“Kami kemudian dibawa ke hotel lain oleh polis, kira-kira 15 minit memandu.
“Hotel ini tidak terurus dan penuh dengan lipas. Ia berdebu dan kami tidak boleh pergi ke lobi hotel kerana 2 anggota polis ditempatkan di sana untuk memastikan kami tidak meninggalkan premis itu,” katanya.
Jetinder berkata, 4 anak saudaranya berusia 7, 10, 14 dan 16 tahun dan semakin tidak selesa tinggal di dalam bilik tersebut.
Nenek saya berusia 74 tahun. Dia menghidap asma,” katanya.
Bil mereka semakin bertambah kerana perintah berkurung menyebabkan harga melambung tinggi. Bilik mereka yang tidak terurus berharga RM310 sehari dan setiap hidangan makanan berharga RM200 hingga RM250.
“Kami membawa wang yang cukup untuk percutian dan sedikit tambahan. Namun kini makanan dan penginapan sangat mahal. Kami kehabisan wang tunai.
“Kami merayu supaya kerajaan membantu kami pulang ke tanah air dengan selamat secepat mungkin,” tambahnya.
FMT menghubungi Wisma Putra di Kuala Lumpur di mana pegawainya memaklum beliau sudah mengemukakan butiran kepada kedutaan Malaysia di New Delhi.
Pegawai terbabit juga mengarahkan keluarga itu segera menghubungi kedutaan Malaysia di India untuk mendapatkan butiran lanjut.
Semalam, Perdana Menteri India Narendra Modi mengumumkan perintah berkurung 21 hari di seluruh negara, yang menyaksikan 1.3 bilion rakyatnya duduk di dalam rumah.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
India merekodkan 562 kes Covid-19 dan 11 kematian setakat ini.