PH cadang kerajaan peruntuk tambahan RM150 bilion pakej rangsangan ekonomi

Majlis Setiausaha PH mencadangkan semua perkhidmatan utiliti mengumumkan moratorium automatik selama 6 bulan bagi bil terkumpul.

PETALING JAYA: Majlis Setiausaha Pakatan Harapan (PH) mencadangkan kerajaan memperuntukkan pakej rangsangan tambahan sebanyak RM150 bilion atau 10% kadar KDNK tahunan susulan pembentangan pakej rangsangan ekonomi pada 30 Mac ini.

Dalam kenyataan bersama, PH berkata di peringkat antarabangsa, negara seperti Amerika Syarikat dan Jerman mengamalkan anggaran yang sama dan melaksanakan pakej rangsangan fiskal sekitar 10% KDNK mereka.

“Peruntukan untuk meredakan aliran tunai bagi perniagaan kecil perlu ditingkatkan, diperluaskan skop dan dibuat tanpa faedah.

“Ini akan memastikan PKS dapat mengekalkan tenaga kerja mereka dan terus hidup selagi keadaan ekonomi yang mencabar kekal,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan bersama itu diwakili Saifuddin Nasution, Hatta Ramli dan Liew Chin Tong.

PH juga menyediakan laporan terbaru Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) yang menyeru kerajaan menanggung semua pendapatan yang hilang sepanjang krisis ini.

Katanya, anggaran jumlah kerugian pendapatan isi rumah akibat krisis ini adalah pada tahap RM95 bilion.

“Mereka juga menyeru rangsangan ekonomi tambahan sebanyak RM75 bilion, susulan pakej rangsangan pertama berjumlah RM20 bilion.

“Namun, beberapa langkah yang diumumkan dalam pakej pertama tidak dapat mencapai kerberkesanan dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP),” katanya.

Majlis Setiausaha PH mencadangkan supaya penerima Bantuan Sara Hidup (isi rumah B40) diberikan RM1,000 bagi Mac dan RM1,000 bagi April untuk meringankan beban kesan kejutan Covid-19.

Katanya, pindahan tunai adalah cara paling berkesan untuk menyalurkan wang tunai kepada isi rumah berpendapatan rendah.

“Ini akan menjadi relevan untuk mengekalkan mereka yang berada di sektor tidak formal atau tiada pendapatan tetap yang merupakan segmen besar tenaga kerja negara.

“Malah, mereka yang mempunyai pendapatan tetap di sektor formal turut terkesan, tetapi keadaan lebih buruk bagi mereka yang berada di sektor tidak formal.

“Nasib mereka harus segera ditangani untuk mengelakkan masalah kelaparan dalam kalangan orang ramai serta kegelisahan sosial,” katanya.

Majlis Setiausaha PH juga mencadangkan semua perkhidmatan utiliti, Tenaga Nasional, Telekom Malaysia, syarikat telekomunikasi dan lain-lain, diarah menyediakan moratorium umum automatik selama 6 bulan bagi bil terkumpul.

Katanya, semua perkhidmatan utiliti juga harus membenarkan pembayaran balik secara ansuran selepas tempoh 6 bulan tersebut.

“Langkah ini akan membantu isi rumah dan perniagaan menumpukan usaha pada waktu PKP ini dan seterusnya jangkamasa pemulihan dalam tempoh 6 bulan,” katanya.