RM63 juta bantu B40 di Wilayah Persekutuan ketika perintah kawalan

Penyewa PPR milik DBKL dikecualikan bayaran sewa selama sebulan.

PETALING JAYA: Putrajaya mengumumkan peruntukan tambahan RM63.6 juta untuk membantu golongan miskin dan pekerja di Kuala Lumpur menangani kehilangan pendapatan sepanjang penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan selama sebulan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa berkata, RM54.3 juta akan digunakan untuk membantu golongan B40, pelajar, pemilik perniagaan kecil-kecilan dan pelajar.

Selain Kuala Lumpur, penduduk di Putrajaya dan Labuan juga akan mendapat manfaat daripada inisiatif Wilayah Cakna.

Katanya, RM5.9 juta diperuntukkan kepada anggota barisan depan, termasuk pegawai perubatan dan pasukan penguatkuasaan, manakala RM3.4 juta disalurkan untuk membantu pesakit Covid-19.

Kira-kira 40,000 isi rumah yang mendiami Projek Perumahan Rakyat (PPR) milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang diberikan pengecualian sewa selama sebulan.

“Kita mempunyai 40,000 isi rumah yang menyewa PPR DBKL di Kuala Lumpur. Kita juga menjangkakan akan menanggung kira-kira RM4.9 juta kos daripada pengecualian sewa itu,” katanya pada sidang media bersama timbalannya, Edmund Santhara Kumar.

Sementara itu, bayaran zakat khas RM500 akan diagihkan kepada kira-kira 24,000 keluarga yang membabitkan RM12.1 juta.

Ini tambahan kepada bayaran “one-off” sebanyak RM500 kepada perniagaan kecil-kecilan dan penjaja yang keseluruhannya berjumlah RM11.8 juta.

Pengumuman itu ialah peruntukan khas terbaru untuk membantu mengurangkan impak akibat perintah kawalan pergerakan bagi membendung Covid-19.

Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan lanjutan perintah kawalan pergerakan selama 2 minggu lagi sehingga 14 Apr ini.

Annuar berkata, mereka yang mengambil pinjaman Yayasan Wilayah Persekutuan untuk membeli PPR akan dibenarkan menangguh bayaran pinjaman mereka selama 6 bulan, sejajar moratorium diumumkan Bank Negara Malaysia hari ini.