Sarawak beri amaran tutup ladang, kilang sawit jika pekerja positif Covid-19

Sarawak tidak teragak-agak menutup ladang kelapa sawit jika kes Covid-19 dikesan dalam kalangan pekerja.

KUCHING: Sarawak mengarahkan ladang dan kilang kelapa sawit di negeri itu menyerahkan senarai semua pekerja asing mereka untuk pemeriksaan kesihatan.

“Kami ingin mengetahui bilangan pekerja asing yang bekerja di ladang dan kilang di negeri ini, termasuk sejarah dan keadaan kesihatan mereka,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak, Douglas Uggah ketika melawat kilang minyak sawit Bau, hari ini.

Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi bersetuju membenarkan ladang meneruskan operasi dan menyediakan pihak berkepentingan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang mesti dipatuhi kakitangan mereka, katanya.

Namun Uggah berkata, kerajaan Sarawak tidak teragak-agak untuk menutup ladang kelapa sawit jika kes Covid-19 dikesan dalam kalangan pekerja.

Beliau menggesa semua ladang dan kilang kelapa sawit memantau pekerja mereka dengan mengikuti arahan diberikan kerajaan untuk mencegah penyebaran virus itu.

“Semua orang mesti mengambil suhu badan mereka dan mereka yang tinggal di ladang tidak boleh menyertai sebarang perhimpunan. Pekerja juga mesti memaklumkan pengurusan mereka di mana mereka berada,” katanya.

Sementara itu, Uggah berkata 95% rakyat di negeri itu mematuhi perintah kawalan pergerakan yang kini dilanjutkan selama sebulan.

“Kami berharap ini akan diteruskan kerana ia adalah untuk kebaikan semua,” katanya.

Lima daripada 17 kematian berkaitan dengan Covid-19 di seluruh negara datang dari Sarawak, yang mencatatkan 87 kes setakat ini.