2 kawasan catat kes tinggi, tiada orang dibenar masuk

Mulai tengah malam ini, sekatan didirikan di semua laluan keluar masuk Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid di Kluang, Johor yang mencatatkan kes jangkitan Covid-19 yang tinggi.

PETALING JAYA: Tiada orang dibenarkan masuk ke Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid di Kluang, Johor selepas 2 kawasan itu mencatatkan kes jangkitan Covid-19 yang tinggi.

Semua 3,570 penduduk di situ dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selepas Kementerian Kesihatan mendapati 61 kes daripada 83 kes jangkitan Covid-19 di Kluang dari situ.

Perintah ini berkuatkuasa mulai tengah malam ini, iaitu 27 Mac hingga 9 April:

  • Semua penduduk tempatan dan pelawat yang berada di kawasan itu tidak dibenarkan keluar rumah sepanjang PKPD dikuatkuasakan.
  • Bukan penduduk tempatan dan pelawat tidak dibenarkan masuk ke kawasan itu sepanjang PKPD dikuatkuasakan.
  • Semua aktiviti perniagaan dihentikan.
  • Makanan asas yang mencukupi untuk tempoh 14 hari akan dibekalkan kepada semua penduduk tempatan.
  • Pangkalan perubatan akan dibuka.
  • Semua laluan keluar masuk ke kawasan itu ditutup.
  • Polis, tentera, pertahanan awam, dan Rela akan mengawal seluruh kawasan itu.

Perintah ini bertujuan untuk membendung Covid-19 daripada menular keluar dari kawasan tersebut.

“Langkah ini akan membolehkan aktiviti pengesanan kes dari rumah ke rumah dilaksanakan sepanjang tempoh 14 hari,” kata Menteri Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob.