9 doktor korban Covid-19 di Filipina

3 hospital utama di Manila mengumumkan ia mencapai kapasiti penuh dan tidak lagi menerima kes baru Covid-19. (Gambar AP)

MANILA: Sembilan doktor di Filipina menjadi korban Covid-19, kata persatuan perubatan utama negara itu hari ini, ketika hospital dibanjiri dan pengamal perubatan merungut kerana kekurangan perlindungan di barisan hadapan.

Pengumuman mengenai kematian pengamal perubatan meningkatkan ketakutan bahawa skala krisis kesihatan di Filipina jauh lebih buruk daripada yang dilaporkan secara rasmi, dengan jumlah kematian akibat pandemik itu meningkat kepada 38.

Pulau utama Luzon, yang didiami 55 juta penduduk, kini dalam minggu ke-2 perintah berkurung untuk mengekang penularan wabak itu, namun pengamal perubatan memberi amaran mungkin berlaku peningkatan kes.

Persatuan Perubatan Filipina berkata doktor ke-9 meninggal dunia hari ini akibat virus itu, dan pekerja kesihatan tidak mendapat perlindungan yang cukup.

“Pada pandangan saya, saring dulu petugas barisan hadapan dan periksa mereka sekali lagi selepas 7 hari. Doktor sendiri boleh menjadi pembawa,” kata Naib Presiden Persatuan Perubatan Filipina, Benito Atienza, kepada AFP.

Tiga hospital utama di Manila hari ini mengumumkan ia mencapai kapasiti penuh dan tidak lagi menerima kes baru Covid-19.

Beratus-ratus kakitangan perubatan tidak lagi menerima pesakit kerana mereka menjalani kuarantin selama 14 hari berikutan terdedah kepada virus itu, kata pihak hospital.

Kira-kira 2,000 orang yang disaring di Filipina pada Selasa lalu adalah dari mereka yang mengalami simptom yang teruk dan golongan yang dianggap paling berisiko kepada Covid-19, seperti warga emas, mereka yang mempunyai penyakit mengancam nyawa dan wanita hamil.