Anggota polis dipuji selepas bantu keluarga putus bekalan ketika perintah kawalan

2 anggota polis Johor membantu sepasang suami isteri yang kehabisam bekalan selepas tiada pekerjaaan akibat perintah kawalan pergerakan. (Gambar Facebook Polis Johor )

PETALING JAYA: Tindakan 2 anggota polis Johor membantu sebuah keluarga yang ketiadaan wang dan putus bekalan makanan ketika perintah kawalan pergerakan dipuji.

Polis Johor menerusi kenyataan di Facebook berkata pasangan suami isteri yang mempunyai seorang anak pada mulanya dinasihatkan anggota mereka supaya pulang ke rumah susulan perintah kawalan pergerakan, bagaimanapun keluarga itu memaklumkan mereka ketiadaan wang untuk pulang.

“Apabila pegawai polis mendekati pasangan tersebut dengan memberi nasihat supaya akur dengan perintah kawalan pergerakan dan minta pasangan keluarga tersebut pulang ke rumah.

“Namun si isteri terus menangis dan memaklumkan tiada wang ringgit serta tiada lagi bekalan makanan di rumahnya,” katanya.

Ia berkata perkara paling menyentuh perasaan 2 pegawai Polis Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Johor ketika membuat rondaan Op Covid-19 di Taman Tampoi Indah, Johor Baharu apabila pasangan itu memaklumkan anaknya berusia 1 tahun 4 bulan itu terpaksa diberi air Milo bercampur gula sebagai pengganti susu kerana ketiadaan wang.

“Pegawai polis itu bawa keluarga tersebut ke kedai runcit dan berikan bantuan susu anak yang berumur 1 tahun 4 bulan yang membuatkan tersentuh hati pegawai polis tersebut yang dikatakan hanya beri minum Milo bercampur gula.

“Pasangan keluarga ini tinggal di Taman Tampoi Indah dengan sewa bilik, suaminya yang berhenti kerja sambilan di Singapura kerana tiada permit kerja. Isteri pula seorang tukang cuci di kawasan Larkin dan kini telah dicutikan.

“Ucapan terima kasih kepada Pegawai Polis Koperal 150367 Mohd Hisham Mustafa dan Konstabel 204588 Mudrikah Nazirul Nordin yang membantu keluarga tersebut dan moga pasangan keluarga tersebut dapat diberikan bantuan,” menurut kenyataan itu.

Perintah kawalan pergerakan memasuki hari ke-9 hari ini.