Himpunan jemaah tabligh tidak salah, pihak berkuasa beri kelulusan, kata Najib

Sehingga semalam, lebih 9,026 peserta himpunan jemaah tabligh telah menjalani pemeriksaan Covid-19 dengan lebih 1,057 daripada mereka didapati positif virus berkenaan.

PETALING JAYA: Najib Razak berkata orang ramai tidak patut menuding jari kepada peserta himpunan jemaah tabligh di Masjid Sri Petaling sebagai punca peningkatan terbesar kes Covid-19 di negara ini sejak beberapa hari lalu.

Bekas perdana menteri itu berkata, pihak berkuasa di bawah pentadbiran lepas telah meluluskan himpunan selama 4 hari dari 27 Feb hingga 1 Mac itu yang menarik lebih 10,000 hadirin.

“Bukan jemaah tabligh mahu dijangkit virus. Mereka juga mangsa,” katanya di Facebook.

Beliau berkata, himpunan itu tidak menyalahi undang-undang kerana ia mendapat kelulusan yang diperlukan daripada pihak berkuasa, termasuk polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Beliau berkata, kelulusan itu juga tidak salah kerana kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak menghalang perhimpunan umum besar-besaran atau menaikkan status amaran Covid-19 negara ketika itu.

Dalam status yang dimuatnaik itu, Najib menunjukkan surat kelulusan daripada polis serta kronologi peristiwa membabitkan Covid-19.

“Lebih penting sekarang ialah semua (anggota) jemaah tabligh yang pernah hadir acara itu memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dengan memberitahu kontak mereka dan ke mana mereka pernah pergi sejak acara itu.”

Hari ini, kematian ke-3 anggota jemaah tabligh yang menghadiri himpunan itu menjadikan angka kematian akibat Covid-19 di Malaysia meningkat kepada 21 orang.

Sehingga semalam, lebih daripada 9,026 peserta himpunan berkenaan telah menjalani pemeriksaan Covid-19, dengan lebih daripada 1,057 didapati positif dijangkiti virus yang membawa maut itu.