Hospital swasta pinjamkan 65 ventilator, sedia 900 katil

Persatuan Hospital Swasta Malaysia menawarkan 65 lagi ventilator kepada KKM. (Gambar AP)

PETALING JAYA: Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) menawarkan 65 lagi ventilator berbanding 51 yang dijanjikan sebelum ini untuk membantu Kementerian Kesihatan memerangi wabak Covid-19 di Malaysia.

Presidennya, Dr Kuljit Singh berkata hospital ahlinya juga menyediakan 900 katil daripada 70 pusat perubatan untuk rawatan dan pengurusan pesakit bukan Covid-19.

“Butir-butir akan dimuktamadkan secara bersama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Persatuan itu sebelum ini menawarkan 51 ventilator untuk digunakan bagi membantu memerangi penularan virus itu dan berkata ia akan menerima rujukan kes bukan Covid-19 daripada hospital kerajaan.

Baru-baru ini, banyak kumpulan dan individu menggesa hospital swasta menghulurkan lebih banyak bantuan dalam tempoh krisis ini.

Sebanyak 235 kes baru dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah pesakit setakat ini seramai 2,031.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham berkata 45 pesakit sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan 32 kes yang memerlukan bantuan pernafasan.

Sehingga kini 23 kematian direkodkan akibat virus itu di Malaysia.