Ingkar perintah kawalan: Warga tempatan, penduduk tetap berdepan penjara

Anggota polis mengiringi Yong Tze How (2 dari kiri) dan Injimar Abu Gafar (2 dari kanan) di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu, hari ini.

KOTA KINABALU: Seorang pemegang kad pemastautin tetap dan seorang lelaki tempatan menjadi 2 individu pertama didakwa ingkar perintah kawalan pergerakan di Sabah hari ini.

Pemegang kad MyPR, Injimar Abu Gafar dan Yong Tze How mengaku bersalah di depan Majistret Stephanie Sheron Abbie selepas tuduhan dibacakan kepada mereka di kompleks mahkamah di sini.

Mereka didakwa menghalang pihak berkuasa daripada melaksanakan perintah kawalan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 2 tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Injimar, 33, didenda RM6,000 atau 10 bulan penjara kerana melakukan kesalahan itu pada jam 6 petang, 23 Mac manakala Yong, 26, dijatuhi hukuman penjara 10 bulan selepas mengaku bersalah melakukan kesalahan itu pada 1.30 pagi semalam.

Mahkamah juga mengarahkan Injimar, yang tidak diwakili peguam dirujuk ke Jabatan Imigresen.

Mengikut fakta kes, Injimar mengasari anggota polis yang mengeluarkan saman terhadapnya secara lisan selepas didapati memandu tanpa lesen ketika sekatan jalan raya di Jalan Tuaran.

Tertuduh bagaimanapun berang selepas rakannya, yang bersamanya ketika itu, diarah keluar dari kenderaan setelah gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri.

Tertuduh didakwa melemparkan kata-kata kesat kepada polis dan kemudian memukul bonet kereta untuk menyatakan ketidakpuasan hati.

Sementara itu, Yong ingkar arahan anggota polis supaya menghentikan kenderaannya untuk pemeriksaan sebaliknya melarikan diri daripada sekatan jalan raya di Jalan Kampung Cenderakasih di Kolombong, semalam.

Dia memandu kereta bersama seorang wanita dan bayi ketika kenderaannya dikejar.

Polis mengejar Yong lebih 1 jam sehingga keretanya berhenti berikutan kehabisan minyak di Jalan Bukit Bendera.

Timbalan Pendakwa Raya Khairul Anuar menggesa mahkamah mengenakan hukuman penjara ke atas kedua-dua tertuduh sebagai peringatan tegas dan kerana mendedahkan polis kepada risiko ketika operasi perintah kawalan pergerakan.