Ini sebab tidak perlu gelabah beli topeng dijual dengan harga ‘cekik darah’

Mereka yang berada di barisan hadapan seperti doktor dan jururawat sahaja diwajibkan memakai topeng sebagai langkah elak dijangkiti pesakit Covid-19.

Kesukaran orang ramai mendapatkan bekalan topeng hidung dan mulut akibat kekurangan bekalan, menimbulkan banyak kontroversi dalam pelbagai aspek.

Ada pihak dituduh sengaja menaikkan harga, kerajaan dituduh gagal mengawal kadar bekalan dan juga didakwa “menjual” bekalan topeng.

Ada juga pihak menyalahkan satu sama lain dan mencari punca kenapa kita kekurangan jumlah yang sepatutnya mencukupi.

Peraturan yang tidak sengaja diwujudkan

Banyak pihak berdepan kesukaran mendapatkan bekalan topeng.

Apa yang memburukkan situasi, lebih ramai pihak mula berdepan kesukaran kerana ketiadaan topeng seolah-olah pemakaian topeng wajib semasa kita mengharungi gejala wabak Covid-19.

Rungutan orang ramai bahawa ada sesetengah lokasi mewajibkan pemakaian topeng sebelum dibenarkan masuk premis sudah kedengaran, seperti apa yang berlaku di sesetengah cawangan pejabat pos.

Ada juga pihak menceritakan tentang pihak polis yang memeriksa sesiapa saja yang tidak mengenakan topeng semasa sekatan jalan raya.

Masyarakat juga seolah-olah memandang hina pada mereka yang tidak bertopeng, sedangkan realitinya bekalan pada ketika ini amatlah tidak memadai.

Boleh jadi banyak kemungkinan kenapa seseorang gagal memakai topeng.

Ketika ini pengusaha pembuat dan pengilang topeng sudah pastilah tersenyum lebar permintaan terhadap produk itu naik mencanak-canak.

Namun jika masyarakat sedar tentang beberapa fakta penting kemungkinan bekalan tidak memadai mungkin tidak berlaku; kerana topeng tidaklah sepenting yang kita sangkakan.

Saranan sebenar WHO dan CDC

Sekiranya anda merujuk kepada kenyataan rasmi WHO, amat jelas badan kesihatan dunia itu menyatakan dengan terang; “anda tidak perlu memakai topeng semasa berlakunya wabak ini.”

Saranan CDC menyatakan seseorang yang perlu menjaga atau mengendalikan pesakit Covid-19 hendaklah menggunakan topeng N95.

Siapakah golongan yang diperlukan untuk memakai topeng?

Wujud kriteria yang ada untuk seseorang dikategorikan perlu memakai topeng dan kumpulan yang paling utama ialah mereka yang perlu merawat dan menjaga pesakit yang telah dijangkiti virus.

Besar kemungkinan kumpulan ini melibatkan petugas perubatan seperti doktor, jururawat dan pembantu perubatan.

Seandainya anda tidak terlibat dalam penjagaan pesakit Covid-19, anda diperlukan untuk memakai topeng seandainya anda kerap batuk dan bersin, yang menandakan anda kurang sihat.

Bukan setakat WHO, penjelasan serupa dikeluarkan oleh CDC Amerika Syarikat yang menyatakan bahawa mereka tidak menggalakkan penggunaan topeng di kalangan orang awam, sebaliknya menyarankan kepentingan menjarakkan antara individu ke individu, kuarantin di rumah sekiranya kurang sihat, elak menyentuh muka dan pastikan menutup mulut dengan tisu semasa bersin atau batuk.

CDC turut sama tidak mengiktiraf pemakaian topeng kain yang kerap kita gunakan (topeng muka pembedahan) kerana pemakaiannya tidak memberikan perlindungan yang sepatutnya, masih membenarkan parikel-partikel masuk melalui liangnya.

Saranan CDC menyatakan seseorang yang perlu menjaga atau mengendalikan pesakit Covid-19 hendaklah menggunakan topeng N95, bukan sekadar topeng biasa yang diamalkan orang awam.

Seorang pesakit Covid-19 juga disaran untuk menggunakan topeng semasa dirawat dan tidak lagi perlu meneruskan pemakaiannya selepas berjaya diisolasikan di rumah atau di hospital.

Saranan yang berbeza-beza menimbulkan kekeliruan

Walaupun mungkin di negara kita tampak seakan berlaku kekeliruan sehingga ada pihak mewajibkan pemakaian topeng, janganlah pula kita marah!

Ini kerana kekeliruan ini sebenarnya datang daripada ketiadaan satu standard yang lengkap dalam isu pemakaian topeng di seluruh dunia.

Bagaimana saranan negara lain?

Kerajaan China pula menyarankan agar pemakaian dilakukan, bergantung kepada risiko di mana anda berada dan dengan siapa anda terdedah.

Hong Kong pula menyarankan pemakaian topeng kepada sesiapa saja yang ada masalah kesihatan.

Kerajaan Jepun senada dengan Amerika Syarikat, tidak mengesyorkan pemakaian topeng kerana keberkesanannya sangat rendah.

Melainkan anda kerap berada dalam kawasan sempit, pemakaian topeng tidak patut dianggap perlu.

Kerajaan Jerman dan United Kingdom menggunakan hujah tiada bukti kukuh penggunaan topeng di kalangan orang awam akan memberi kesan positif pada orang ramai.

Kenyataan kerajaan Jerman tidak berhenti setakat itu, malahan turut sama menyatakan bahawa penggunaan topeng akan menyebabkan orang awam mengalami naluri selamat yang tidak benar – sehingga ada pihak mengabaikan penjagaan kebersihan yang jauh lebih penting berbanding memakai topeng.

Tak percaya?

Dalam sidang media pada 22 Mac 2020, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah mengulangi saranan WHO yang telah diterbitkan sejak mula lagi.

Manakala dalam sidang media Menteri Pertahanan pada 24 Mac 2020 turut memberi amaran kepada mana-mana premis yang menghalang orang daripada memasuki pasaraya kerana tidak memakai topeng untuk membeli barang salah dari segi undang-undang.

Begitu juga saranan pakar perubatan Dr, Christopher Lee pada 16 Mac 2020, yang menggesa agar orang ramai tidak tergesa-gesa mendapatkan topeng sekiranya tidak sakit.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]