Kreatif… Guna dron hantar nombor telefon pikat gadis ketika kuarantin

Jeremy Cohen berjaya berkenalan dengan gadis jiran selepas menggunakan dron untuk menghantar nombor telefonnya. (Gambar Twitter)

Pantang mengalah sebelum berundur! Itulah yang dilakukan seorang pemuda di Brooklyn demi perkenalannya dengan seorang gadis.

Meskipun ancaman wabak Covid-19 di seluruh dunia memaksa orang ramai mengehadkan pergerakan selain mengamalkan jarak sosial antara satu sama lain namun ia tidak menghalang niat murni Jeremy Cohen berkenalan dengan gadis diminati walaupun tidak dapat bersua muka.

India Today melaporkan, Cohen tampil dengan idea kreatif iaitu menggunakan dron dilekatkan sekali bersama nombor telefonnya sebagai tanda perkenalan.

Dia merakam detik mencuit hati itu menerusi aplikasi TikTok sebelum memuat naiknya di Twitter: “Saya tidak percaya helah ini berhasil dan ini adalah kisah benar”.

Video klip bertajuk “Kisah Kuarantin Comel” itu menarik perhatian warganet yang kagum dengan cara Cohen memikat gadis itu.

Menurut Cohen, kisah itu bermula ketika dia melihat gadis berkenaan menari dari tingkap rumahnya.

Tertarik dengan gelagat berkenaan, Cohen melambaikan tangan dari balkoni rumahnya sebelum gadis berkenaan melambai kembali kepadanya.

“Melihat maklum balasnya membuatkan saya terus mengambil pen sebelum menulis nombor telefon di atas kertas dan melekatkannya pada dron.

“Saya menerima mesej daripada gadis itu sejam selepas menghantar dron kepadanya,” katanya.

Posting Jeremy itu sehingga kini sudah mendapat lebih 80,000 retweet.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]