Netizen tersentuh lelaki beri makan anjing selepas jiran terkandas di Singapura

Video yang tular di media sosial menunjukkan Muhammad Faiz memberi makan kepada anjing peliharaan jirannya.

PETALING JAYA: Ia merupakan hari biasa buat Muhammad Faiz meluangkan masa bersama keluarga di kediamannya di Skudai, Johor, ketika seluruh rakyat mematuhi perintah kawalan pergerakan akibat penularan Covid-19.

Namun semalam, sebuah hantaran video menunjukkan beliau memberi makan kepada seekor anjing peliharaan jirannya tular dan mendapat perhatian pengguna media sosial.

Ketika dihubungi FMT, Faiz, 31, berkata beliau menyedari jiran yang tinggal di depan rumahnya sudah lama tidak kelihatan.

Beliau berpendapat jirannya berbangsa Cina yang bekerja di Singapura terkandas di negara itu selepas penguat kuasaan perintah larangan pergerakan di Malaysia.

Tambahnya, apabila mengetahui situasi tersebut, beliau rasa terpanggil untuk memberikan makanan dan minuman kepada anjing tersebut sepanjang ketiadaan tuannya.

“Sebelum ini, anjing itu memang garang, pantang orang mendekati rumah atau kereta tuannya.

“Tapi, selepas 2 atau 3 kali beri makan dan minuman barulah anjing tersebut berkeadaan manja,” katanya sambil menambah anjing tersebut akan menunggu kehadirannya di sebalik pintu pagar hampir setiap hari.

Video yang dimuat naik Faiz menunjukkan rutinnya memberi makanan kepada anjing tersebut melalui lubang di pagar jirannya.

Anjing yang berada di dalam kawasan rumah itu berjalan perlahan mendekati pagar dan menikmati makanan yang diberikan Faiz.

Sehingga kini, video tersebut mendapat ratusan ribu tontonan dengan ribuan komen daripada netizen yang berbilang bangsa. Rata-rata memuji dan berasa bangga dengan kebaikan lelaki tersebut.

Ujarnya lagi, sejak video itu dikongsi orang ramai, beliau dihubungi jirannya. Kata Faiz, jirannya itu mengesahkan dia terkandas di Singapura dan tidak dibenarkan pulang ke Malaysia sehingga tamat tempoh kawalan pergerakan.

Tambah anak kelahiran Pulau Pinang itu, beliau dan isteri merupakan pencinta haiwan.

Jelasnya, ke mana sahaja destinasi yang dituju, mereka pasti menyediakan makanan untuk diberikan kepada haiwan di jalanan.

“Kerana di dunia ini bukan manusia sahaja yang memerlukan makanan, haiwan juga.

“Jadi, saya kira ini sudah menjadi tanggungjawab kami berdua,” katanya.