Nasib saman Umno terhadap 9 pemimpin PPBM kini di awangan?

Kabinet Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menampilkan Umno dan bekas pemimpin parti itu yang berhijrah ke PPBM. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Nasib tuntutan mahkamah Umno terhadap 9 ahli Parlimen yang berhijrah ke PPBM selepas pilihan raya umum 2018 mungkin terawang-awang apabila parti Melayu terbesar itu kini kembali menjadi kerajaan menerusi gabungan baru.

Bekas peguam negara, Mohamed Apandi Ali, yang firmanya mengendalikan kes untuk Umno, ketika dihubungi enggan mengulas.

“Sila ajukan soalan anda kepada presiden Umno. Terima kasih,” katanya kepada FMT.

Cubaan menghubungi Ahmad Zahid Hamidi tidak berjaya.

Seorang lagi peguam, Ashok Kandiah, yang mewakili 7 ahli Parlimen terbabit, belum terima sebarang arahan.

“Saya percaya ada yang sibuk kerana mereka baru saja dilantik ke pentadbiran dan kerana wabak Covid-19 yang tidak dijangka,” katanya.

Zahid tahun lepas berkata tuntutan itu dibuat demi kepentingan parti.

Tindakan dibuat terhadap Mustapa Mohamed (Jeli), Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah), Hamzah Zainuddin (Larut), Abdul Latiff Ahmad (Mersing), Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam), Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Shahbudin Yahaya (Tasek Gelugor), Noor Azmi Ghazali (Bagan Serai) dan Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah)

Umno menuntut ganti rugi RM200,000 daripada setiap seorang.

Seramai 13 ahli Parlimen termasuk 4 dari Sabah berhijrah ke PPBM semasa ia menjadi sebahagian daripada Pakatan Harapan yang dipimpin bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Pada 1 Mac, Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin umum keluar PH dan mengangkat sumpah perdana menteri selepas mendapat sokongan PPBM, Umno, PAS, Parti Gabungan Sarawak dan beberapa wakil rakyat termasuk bekas pemimpin PKR.

Mustapa kembali ke Kabinet sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri, Hamzah dilantik menteri dalam negeri, dan Abdul Latiff dilantik menteri pembangunan luar bandar.

Sementara itu, Ikmal dilantik timbalan menteri pertahanan, Muslimin dilantik timbalan menteri pendidikan, Noor Azmi dilantik timbalan menteri kesihatan, Rosol dilantik timbalan menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna, dan Mas Ermieyati dilantik timbalan menteri pembangunan usahawan dan koperasi.

Perbicaraan 9 kes itu, difailkan di Mahkamah Tinggi seluruh negara, belum bermula kerana bantahan awal daripada pihak terlibat.