Pastikan bekalan makanan tidak terganggu, cegah belian panik, kata badan pengguna

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin membuat lawatan mengejut bagi memeriksa bekalan makanan di sebuah pasar raya di Seri Kembangan semalam. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Sebuah badan pengguna menggesa kerajaan memastikan tidak berlaku gangguan ke atas pengeluaran dan bekalan makanan dan barangan pengguna.

Gerakan Pengguna Malaysia (MCM) berkata, bagi menghindari pembelian panik sekali lagi, kerajaan perlu bekerja rapat dengan pemain industri bagi memastikan pengeluaran tidak terganggu sama sekali.

“Campur tangan segera perlu dibuat sekiranya terdapatnya sebarang tanda kurang bekalan, walaupun jika ia bermakna mengharamkan eksport barang keluaran asas,” kata Ben Johl daripada MCM kepada FMT.

“Duduk di rumah menyebabkan orang ramai makan lebih banyak, misalnya telur, roti, makanan dalam tin, mi dan sebagainya.”

Johl berkata, langkah mengehadkan jumlah pembelian juga boleh dilaksanakan jika pengguna terus membeli dalam jumlah besar dan menyorok barang keperluan.

Bagaimanapun beliau menggesa kerajaan tidak melakukannya pada masa ini, merujuk kepada cadangan Pakatan Harapan (PH) supaya kerajaan dan pasar raya mengehadkan jumlah pembelian.

Beliau mencadangkan supaya pasukan penguat kuasa memberi tumpuan kepada pihak yang menyorok bekalan, sekali gus mewujudkan kurang bekalan palsu bagi menaikkan harga.

Johl berkata, berdasarkan dapatan MCM, jumlah pembeli lebih ramai pada sebelah awal pagi.

“Kerajaan boleh membenarkan masa jualan lebih panjang dan pergerakan bebas pembelian atas talian. Ini boleh membantu mengurangkan kesesakan di pasar raya.”