Penguat kuasa boleh ambil semua langkah pasti perintah kawalan dipatuhi, kata menteri

Kerajaan melanjutkan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan di seluruh negara sehingga 14 April depan bagi menyekat penularan wabak Covid-19.

KUALA LUMPUR: Pihak yang menguatkuasakan perintah kawalan pergerakan (PKP) boleh menggunakan apa-apa jua cara termasuk kekerasan bagi memastikan perintah itu dipatuhi, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Takiyuddin Hassan.

Katanya, selain itu, pihak terlibat juga boleh menahan, mendakwa sehingga dihukum penjara atau dikenakan denda oleh mahkamah sebagaimana yang telah dilaksanakan.

“Kerjasama dengan pihak yang menguatkuasakan undang-undang khususnya Akta Pengawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) seperti petugas kesihatan, polis dan ATM (Angkatan Tentera Malaysia), amatlah penting bagi memastikan langkah yang diambil oleh kerajaan demi menjaga nyawa rakyat, berkesan serta tidak sia-sia,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata demikian merujuk kepada laporan media bertajuk “Rakyat Kelantan degil, polis akan ketatkan sekatan”.

Takiyuddin menyeru seluruh rakyat Malaysia agar terus mematuhi perintah kawalan pergerakan yang telah dilanjutkan tempohnya sehingga 14 April.

“Saya berharap kesabaran kita menghadapi tempoh getir dan mencabar ini mampu menyelamatkan nyawa semua rakyat Malaysia daripada terus diserang virus Covid-19 yang amat berbahaya serta membawa maut ini,” katanya.