Penjaja, pemandu teksi bimbang ‘simpanan’ tak mampu harung tempoh kawalan

Pemandu teksi menunggu di hentian bas, menanti penumpang yang mungkin tidak ada ketika kawalan memaksa orang ramai duduk di rumah.

PETALING JAYA: Penjaja dan pemandu teksi bimbang baki “simpanan kecemasan” mereka tidak mampu mengharung kawalan pergerakan 4 minggu ini yang sudah melenyapkan pendapatan mereka.

Mereka antara golongan paling terjejas dengan kesan pandemik Covid-19 ke atas ekonomi. Wabak itu sudah meragut sehingga 20 nyawa sehingga kini.

Di serata negara, penjaja tidak dibenarkan beroperasi walaupun barangan mereka sememangnya boleh dibawa pulang – khidmat yang dibenarkan mengikut perintah kerajaan.

Pemandu teksi pula, walaupun dianggap sebahagian perkhidmatan asas yang dikecualikan mengikut perintah itu, pada kebanyakan hari dilihat tanpa penumpang selepas jutaan orang diarah duduk di rumah.

Lina, seorang penjaja nasi lemak di Subang Jaya, menggunakan simpanannya sejak kawalan berkuatkuasa 18 Mac.

“Ini tidak boleh berterusan terlalu lama,” katanya kepada FMT, dan menambah dia tiada sumber pendapatan sampingan lain.

“Tiada apa-apa, saya tidak melakukan apa-apa. Saya duduk di rumah patuhi arahan kerajaan.

Seorang pemilik gerai makan, Zulkifli Osman, 56, kini menjual kuil dalam talian untuk menampung keperluan keluarga.

Bapa 5 anak itu memperoleh kira-kira RM150 sehari, dikongsi dengan 2 pembantu.

“Kami tiada pilihan, kami terpaksa. Kami tiada sumber pendapatan lain,” katanya.

Seperti kebanyakan orang, Zulkifli amat bimbang dengan Covid-19.

“Saya takut jatuh sakit atau dijangkiti virus itu. Jadi saya perlu jaga kesihatan. Itu lebih penting daripada berniaga.

“Anak-anak saya duduk di rumah bermain. Memang itu pun ‘kerja’ budak-budak.”

Sejak seminggu lalu, Paniselvam Suppiah, 62, memandu sekitar bandar dengan teksinya – kebanyakan masa tanpa penumpang.

“Semalam saya berjaya dapat RM32, tetapi hari ini saya belum dapat 1 sen pun, dan sekarang sudah 5.30 petang,” katanya.

Pada hari biasa, beliau memperoleh kira-kira RM120, jika bernasib baik, RM180.

Paniselvam juga menggunakan aplikasi e-panggilan MyCar, yang biasanya sentiasa berbunyi – tetapi tidak lagi sekarang.

“Tidak ada perniagaan di perhentian bas, tidak ada perniagaan di mana-mana.

“Saya tidak boleh gerak terlalu banyak, nanti habis petrol saya tapi masih tak dapat 1 sen pun,” tambahnya.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dijadual mengumumkan pakej rangsangan ekonomi yang komprehensif esok.

Beliau berkata ia akan memberi manfaat kepada semua termasuk pemandu e-panggilan, penjaja, pemilik restoran, dan petani.

“Tiada siapa yang akan ketinggalan,” katanya dalam perutusan rasmi yang disiarkan langsung semalam.

Bagi Paniselvam, walaupun persatuan teksi tidak dapat membantu, dia mengharapkan yang terbaik.

“Ketika Najib (Razak) menjadi perdana menteri, ya, kami terima banyak benda. Beliau beri tayar dan wang untuk petrol. Mari lihat apa yang akan perdana menteri baru lakukan.”