Tiada lagi isu ketua keluarga ‘panik’ beli barang dengan adanya bantuan ‘personal shopper’

Ketua keluarga kini tidak lagi ‘panik’ dengan adanya bantuan personal shopper.

Perintah kawalan pergerakan mengarahkan semua rakyat Malaysia beri kerjasama dengan duduk di rumah dan mengehadkan pergerakan di luar.

Ia bertujuan untuk mengekang penularan wabak Covid-19 daripada terus merebak.

Antara arahan yang dikeluarkan Menteri Kanan (Infrastruktur), Fadillah Yusof hanya ketua keluarga yang dibenarkan untuk keluar atas segala urusan membeli barang keperluan khususnya barang makanan termasuk ubat-ubatan.

Ini bermakna hanya kaum lelaki sahaja yang dibenarkan keluar rumah untuk membeli barang keperluan bahan basah atau bahan kering yang sebelum ini diuruskan oleh kaum wanita dan secara tidak langsung ia membuatkan situasi agak panik bagi semua suami.

Di saat inilah ujian paling besar bagi kaum itu yang sebelum ini langsung tidak pernah ambil berat urusan rumah tangga yang hanya diuruskan oleh isteri.

Namun kebiasaannya, kaum isteri terutamanya suri rumah yang keluar membeli barangan keperluan terutama bahan mentah untuk dimasak buat seisi keluarga.

Dan “tugasan” membeli bahan mentah yang dipesan isteri disaat arahan yang dikeluarkan ini menjadikan cabaran baharu buat golongan suami yang perlu membezakan jenis-jenis ikan, sayur dan rempah serta ramuan lain.

Beberapa posting di media sosial ternyata mencuit hati apabila isteri mula berkongsi kerenah suami yang keluar membeli barang sendirian tanpa ditemani.

Meskipun para suami dibekalkan dengan senarai barangan siap dengan jenama, namun masih ada suami yang lagaknya seperti main “treasure hunt”, ambil gambar malah ada yang terus “video call” dengan isteri untuk mengesahkan barang yang diambil itu betul.

Bantuan ‘personal shopper’ ini secara tidak langsung dapat menjadikan ‘sosial distancing’ di antara semua orang.

Memandangkan kesukaran yang dihadapi oleh semua ketua keluarga, sebuah pasaraya terkemuka menawarkan khidmat “personal shopper” bagi membantu mereka membeli keperluan dapur.

Servis perkhidmatan ini akan membantu pelanggan mereka untuk memenuhi senarai barangan yang dikehendaki.

Pelanggan hanya perlu memberikan senarai barang dan pekerja yang bertugas akan membantu.

Sementara pekerja menyiapkan keperluan senarai barangan pelanggan, pelanggan boleh memilih untuk tunggu di dalam kereta dan akan dihubungi apabila kesemua barangan telah dipenuhi.

Secara tidak langsung, “social distancing” pelanggan akan lebih terjamin.

Pastinya kaum lelaki tidak akan mempunyai masalah tersilap membeli keperluan, lebih-lebih lagi kaum perempuan sangat cerewet dengan jenis dan jenama barangan yang ingin dibeli.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]