11 ingkar arahan ditahan ketika berjoging

Polis berkata, 11 lelaki itu ditahan kerana tidak mengendahkan amaran dan nasihat polis serta memberi alasan tidak munasabah bagi mengelakkan ditahan ketika berjoging di sekitar Jalan Mont Kiara dan Jalan Desa Kiara hari ini. (Gambar Twitter)

KUALA LUMPUR: Sebelas lelaki yang tidak mengendahkan arahan polis susulan perintah kawalan pergerakan (PKP), ditahan ketika joging di sekitar Jalan Mont Kiara dan Jalan Desa Kiara, di sini, hari ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Mazlan Lazim berkata, menerusi rondaan dan penguatkuasaan di kawasan itu, 4 warga Jepun, 2 warga tempatan, 2 warga Korea Selatan dan masing-masing seorang warga India, Amerika Syarikat dan United Kingdom ditahan kerana melanggar arahan.

“Mereka ditahan kerana tidak mengendahkan amaran dan nasihat diberikan polis serta memberikan alasan tidak munasabah bagi mengelakkan diri daripada ditahan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, semua individu itu dirakam percakapan mereka mengikut Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah dan dibebaskan dengan jaminan polis selepas proses siasatan selesai.

Katanya, kertas siasatan akan dirujuk ke pejabat timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut, manakala kes disiasat di bawah Peraturan 7(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 serta Seksyen 186 Kanun Keseksaan.