111 rakyat Malaysia terkandas di Kemboja dibawa pulang

Malaysia menghantar pesawat khas untuk membawa pulang warganya yang terkandas di Kemboja. (Gambar Facebook)

PHNOM PENH: Malaysia dan Perancis menyediakan pesawat yang disewa khas untuk membawa pulang beratus-ratus rakyatnya yang terkandas di Kemboja selepas negara itu menutup sempadan dan membatalkan penerbangan berikutan pandemik Covid-19.

Malaysia menghantar pesawat khas untuk membawa pulang 111 rakyatnya yang terkandas, kelmarin, kata Menteri Luar Kemboja, Prak Sokhonn.

Pada masa sama, Kemboja bekerjasama dengan Malaysia untuk membawa pulang 6 rakyatnya yang terkandas di Malaysia, kata Sokhonn dalam catatan Facebook semalam.

Penerbangan sewa khas itu berlepas semalam dengan membawa 413 warga Perancis.

“Kami cuba cari jalan penyelesaian untuk pelancong Perancis yang terkandas berikutan penerbangan mereka dibatalkan atau tidak dapat melalui hab transit di wilayah ini,” kata Hugo Wavrin, penasihat politik dan media di kedutaan Perancis di Kemboja, kepada Reuters hari ini.

Beliau berkata, 100 lagi rakyat Perancis akan meninggalkan Kemboja esok dan lebih ramai lagi akan keluar dalam tempoh 2 hari lagi menerusi penerbangan komersial.

Kemboja melaporkan 2 kes baru Covid-19 semalam, menjadikan jumlah keseluruhan kes sebanyak 98, kata Kementerian Kesihatan.