Befrienders sedia ‘pinjam telinga’ redakan keresahan hadapi PKP

Di beberapa negeri, lebih ramai orang meluahkan kebimbangan mengenai PKP.

KOTA KINABALU: Kebimbangan terhadap perintah kawalan pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa 18 Mac dan baru-baru ini dilanjutkan 2 minggu hingga pertengahan April meperlihatkan ramai mencari platform untuk meluahkan perasaan, walaupun tidak semestinya menyelesaikan masalah.

Kumpulan sokongan Befrienders semakin dihubungi sejak perintah itu dilaksanakan dalam usaha mengekang penularan Covid-19.

Daripada suri rumah kepada pelajar, jurutera atau pegawai bank, orang ramai menghubungi pusat panggilannya atau berkomunikasi melalui media sosial.

Secara khususnya, Sabah, Johor, dan Negeri Sembilan mencatatkan peningkatan, kata Presiden Esther Smiling yang mengendalikan pusat Johor Bahru.

Pada hari biasa, pusat itu menerima panggilan setiap setengah jam, tetapi sekarang kira-kira 3 panggilan masuk dalam masa 30 minit, katanya.

Beliau memberitahu FMT pusat itu kini menerima kira-kira 60 panggilan sehari, 2/3 daripadanya berkaitan PKP.

“Terdapat beberapa panggilan mengenai Covid-19 khususnya, tetapi majoriti panggilan daripada mereka yang bimbang mengenai perintah itu dan kesannya kepada mereka.

“Sejak lanjutan perintah kawalan pergerakan diumumkan, pemanggil lebih cemas berbanding sebelum ini,” katanya.

PKP dijadualkan berakhir pada 31 Mac. Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada minggu ini mengumumkan ia dilanjutkan sehingga 14 Apr.

Smiling berkata sukarelawan di pusatnya menjawab panggilan “tanpa henti” hingga ke tahap sukar berhenti walaupun untuk ke tandas.

Kebimbangan pemanggil termasuk tentang membuat janji temu perubatan, isu kewangan akibat ketidakupayaan untuk bekerja, dan kegelisahan terhadap sekatan pergerakan.

Smiling berkata segelintir pemanggil dengan sejarah masalah mentaljuga bimbang kemungkinan sakitnya berulang.

Presiden Befrienders, Esther Smiling.

“Kami melakukan yang terbaik untuk meredakan kebimbangan mereka dan menasihatkan pemanggil mendapatkan rawatan perubatan segera sekiranya keadaan tidak bertambah baik, sambil mengambil semua langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan jangkitan,” katanya.

“Semua orang sedang menyesuaikan diri dan ada yang tertekan.

“Tetapi pada masa ini, orang ramai yang menelefon rasa senang mengetahui kami sedia mendengar mereka meluahkan perasaan.”

Di Sabah, pengarah publisitinya di Kota Kinabalu, Jessie Yong berkata secara umumunya terdapat 2 jenis pemanggil: mereka yang mempunyai sejarah penyakit mental dan mereka yang tidak.

Pemanggil dengan masalah kesihatan mental biasanya mengambil ubat dan boleh mengalami gangguan kemurungan yang teruk, menyebabkan mereka menjadi lebih panik berbanding orang lain, katanya.

“Kami minta mereka menjauhi media sosial, dan kami sentiasa mempunyai pelan keselamatan: mereka perlu ada nombor doktor mereka dan tahu ke mana hendak pergi jika ada terfikir untuk membunuh diri.”

Sukarelawan yang dikendalikan Yong berkomunikasi dengan orang ramai kebanyakannya melalui Facebook Messenger, WhatsApp dan e-mel. Sebahagian besar pemanggil warga tua dan pesara.

“Secara purata, kami terima 11 hingga 13 perbualan WhatsApp setiap malam sejak perintah kawalan pergerakan bermula, suatu peningkatan bagi kami.

“Kira-kira 3/4 daripada mereka mempunyai masalah kesihatan mental,” katanya.

Pemanggil tanpa masalah kesihatan mental biasanya bimbang mengenai pekerjaan, kesulitan kewangan, perasaan terasing, ketakutan dijangkiti virus, dan pembelian panik.

“Kami bercakap dengan suri rumah, pelajar, pekerja pembinaan, jurutera dan pegawai bank.

“Seorang pemabnggil memberitahu kami majikannya meminta dia bekerja ketika perintah kawalan, menyebabkan dia benar-benar marah. Dalam perkara seperti ini, kami sediakan senarai untuk orang ramai hubungi seperti Jabatan Buruh dan agensi lain untuk mendapatkan maklumat.”

Jessie Yong, pengarah publisiti Befrienders Kota Kinabalu.

Yong berkata beliau dan sukarelawannya “berurusan dengan perasaan dan emosi”, bukan penyelesaian sebenar kepada kesulitan pemanggil.

“Kami cuba bantu mereka selesaikan hal itu dan meneruskan kehidupan mereka.”

Beliau menasihatkan mereka yang terjejas berikutan PKP tidak mengasingkan diri tetapi bercakap dengan orang tersayang atau orang yang dipercayai.

“Jika itu tidak boleh dilakukan, cakap kepada kami,” katanya, sambil menambah identiti pemanggil tidak akan didedahkan.

Pengerusinya di Seremban, Kelvin Ong berkata pusatnya juga mencatatkan lebih banyak pemanggil yang bimbang mengenai perintah pergerakan dan Covid-19.

“Mereka bimbang kerana mereka tidak tahu bila virus ini akan dinyahkan.

“Mereka gelisah kerana tidak dapat bergerak dengan bebas,” katanya kepada FMT.

Pusat panggilan Befrienders di seluruh negara, sesetengahnya hanya boleh dihubungi melalui WhatsApp, media sosial dan emel.

Di Kuala Lumpur, pengerusinya Justin Victor berkata, pusat panggilan 24 jam itu dihujani 80 hingga 100 panggilan sehari.

Tetapi ketika ada panggilan mengenai virus atau PKP, tiada data yang menyokong kesimpulan tentang peningkatan panggilan seperti itu di pusat berkenaan.

Di Pulau Pinang, naib pengerusinya Saras Pillay bersetuju.

“Tetapi kita tidak tahu bagaimana keadaannya kelak, terutama dengan lanjutan PKP,” katanya.