Kematian Covid-19 meningkat 26 orang, 130 kes baru

130 kes positif Covid-19 dilaporkan berbanding 235 kes semalam menjadikan jumlah keseluruhannya 2,161.

PETALING JAYA: Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah mengumumkan 3 mangsa Covid-19 meninggal dunia hari ini, tambahan 1 kematian membabitkan mangsa ke-24 berusia 35 tahun dilaporkan pagi tadi.

Beliau juga berkata sebanyak 130 kes positif dilaporkan berbanding 235 kes semalam menjadikan jumlah keseluruhannya 2,161.

“Sehingga kini terdapat pertambahan kematian berkaitan kes Covid-19 menjadikan jumlah kumulatif adalah sebanyak 26 kes kematian,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Noor Hisham turut memaklumkan, terdapat 44 kes yang pulih dan dibenarkan pulang dan menjadikan kes yang pulih adalah sebanyak 259 kes.

“Sehingga kini seramai 54 kes positif Covid-19 sedang dirawat di unit rawatan rapi dan daripada jumlah itu 34 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Kes kematian ke-25 membabitkan lelaki warganegara Malaysia berumur 83 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit kronik.

Beliau dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun pada 25 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 26 Mac 2020 jam 6.55 petang.

Kes kematian ke-26 seorang lelaki warganegara Malaysia berumur 53 tahun.

Mangsa merupakan kontak rapat kepada kes positif Covid-19 kes 1,309, beliau dirawat di Hospital Sungai Buloh pada 22 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 27 Mac 2020 pada 10.30 pagi.

Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan

Noor Hisham berkata kerajaan mengambil pendekatan drastik dalam membendung penularan Covid-19 dengan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan dilanjutkan sehingga 14 April termasuk memperketat kawalan
di kawasan yang berisiko tinggi.

“Seperti yang diumumkan oleh Yang Berhormat Menteri Kanan semalam, kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid di Simpang Renggam, Kluang, Johor bermula pada 27 Mac 2020 sehingga 9 April 2020.

“Sehingga jam 12 tengah hari ini, Daerah Kluang, Johor melaporkan sebanyak 88 kes positif Covid-19 dengan 74 daripadanya adalah dari Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid di Simpang Renggam, Kluang, Johor,” katanya.

Tujuan PKPD ini adalah untuk membendung jangkitan Covid-19 daripada menular keluar dari kawasan tersebut dan bagi memutuskan rangkaian.

“Langkah ini akan membolehkan aktiviti pengesanan kes secara aktif dari rumah ke rumah dilaksanakan, selain aktiviti nyahkuman dijalankan di kawasan berkaitan.
“KKM mensasarkan 300 sampel ujian diambil setiap hari bermula hari ini. Persampelan akan diutamakan kepada golongan kontak rapat, individu bergejala dan golongan atau kumpulan yang berisiko terlebih dahulu.

“Kerja pembersihan dan disinfeksi di tempat-tempat awam akan dijalankan dengan kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Majlis Daerah Simpang Renggam.

“Kerja pembersihan akan bertumpu di tempat-tempat tumpuan awam. Penerangan juga akan diberi kepada semua penduduk tentang tatacara disinfeksi rumah yang betul,” katanya.