KPN nafi arahan berkurung 6 petang hingga 7 pagi

Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador.

PETALING JAYA: Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador menafikan beliau mengarahkan orang ramai tidak keluar rumah mulai 6 petang hingga 7 pagi sepanjang perintah kawalan pergerakan (PKP) sehingga 14 Apr ini.

“Walaupun banyak perkara dalam arahan palsu ini bertepatan dengan keperluan mengawal pergerakan, hakikat sebenarnya saya tidak pernah mengeluarkan arahan yang menetapkan masa tertentu untuk orang ramai berkurung dalam rumah,” katanya kepada FMT hari ini.

Beliau berkata demikian susulan mesej tular di media sosial yang tidak membenarkan rakyat berada di halaman atau luar kawasan rumah, tempat beriadah, pasar raya dan jalan raya mulai 6 petang hingga 7 pagi.

Terdahulu, Khalid dalam wawancara di sebuah program televisyen berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang masih berdegil serta melanggar PKP.

Katanya, individu yang ditangkap itu bukan saja melanggar peraturan PKP, tetapi juga biadab, mencabar, memaki hamun dan mengasari anggota polis.

Kelmarin, Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin berkata, Putrajaya masih tidak mempertimbangkan pelaksanaan sekatan sepenuhnya (total lockdown) seperti di beberapa negara lain bagi membendung penularan Covid-19.

Beliau secara peribadi amat berharap Malaysia tidak akan sampai ke tahap yang akan menjejaskan rakyat dan ekonomi negara itu.

Beliau turut memberi amaran kepada pihak yang cuba menyebarkan berita palsu berkaitan Covid-19. Pihak berkuasa membuka 94 kertas siasatan dengan 6 didakwa di mahkamah dan 5 didapati bersalah.