Mavcom unjur trafik penumpang penerbangan susut 38% tahun ini

Mavcom berkata, akan berlaku pengurangan dari 67.7 juta hingga 69.7 juta penumpang pada 2020, penurunan ketara daripada jumlah penumpang tertinggi sepanjang masa sebanyak 109.2 juta pada 2019.

KUALA LUMPUR: Trafik penumpang penerbangan Malaysia dijangka susut sebanyak 36.2 hingga 38.1% pada 2020 berikutan penularan wabak Covid-19, menurut Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom).

Mavcom, menerusi laporan industri edisi keenam berkata, ini bermakna pengurangan 67.7 juta hingga 69.7 juta penumpang pada 2020, penurunan ketara daripada jumlah penumpang tertinggi sepanjang masa sebanyak 109.2 juta pada 2019,” menurutnya.

Unjuran yang disemak semula itu mengambil kira pembatalan penerbangan sedia ada oleh syarikat Malaysia dan asing yang berjumlah 14.0 juta tempat duduk bagi tempoh di antara Januari dengan Disember 2020, selain pengurangan tempat duduk sebanyak 15% bagi laluan domestik dan 20% untuk laluan antarabangsa.

Suruhanjaya itu bagaimanapun menekankan bahawa perkembangan penting terus berlaku di Malaysia dan seluruh dunia dalam tempoh ini, yang tidak pernah berlaku sebelum ini, dengan serta-merta menjejaskan prospek industri.

Mavcom berkata ia akan terus memantau perkembangan industri ini dan membuat pelarasan sewajarnya terhadap unjuran berkaitan.