P Pinang beri bantuan tunai surau, masjid nyahjangkit ruang solat

Pihak berkuasa mengadakan sekatan jalan raya di Lebuhraya Dr Lim Chong Eu dengan laluan khas untuk barisan hadapan dan lori yang membawa muatan bekalan makanan.

GEORGE TOWN: Kerajaan Pulau Pinang hari ini menyediakan bantuan tunai RM500 untuk surau dan RM1,000 untuk masjid bagi membantu menyahjangkitan dewan solat untuk menghilangkan kebimbangan berkaitan Covid-19 membabitkan kluster tabligh.

Ia berkata bantuan itu sebahagian daripada program bantuan RM75 juta yang diumumkan baru-baru ini.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata demikian selepas beberapa pihak membantah keputusan kerajaan negeri memberi bantuan kepada tempat ibadat Islam.

Beliau berkata pihak yang membantah mesti melihat melangkaui perbezaan agama dan melihatnya dari sudut kemanusiaan.

“Kami memberi bantuan itu kerana ada kebimbangan mungkin terdapat jangkitan membabitkan kluster jemaah di Sri Petaling.

“Saya yakin masyarakat berbilang kaum di negeri ini akan memahami keadaan ini. Janganlah kita terpengaruh dengan pihak yang tidak bertanggungjawab yang cuba memainkan sentimen perkauman dan agama pada masa kritikal ini,” katanya menerusi siaran langsung di Facebook hari ini.

Beliau berkata tempat ibadat bukan Islam yang memerlukan bantuan pembersihan yang sama boleh menghubungi wakil rakyat mereka atau kerajaan negeri, yang mempunyai tabung amanah bagi institusi bukan Islam.

Chow juga berkata kadar pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berada pada tahap 94% setakat ini.

Beliau berkata golongan gelandangan yang berkumpul di sekitar Komtar akan diberi penjagaan khas.

Utamakan barisan hadapan

Ketua Polis Pulau Pinang, Sahabudin Abd Manan berkata, terdapat 10 tambahan sekatan jalan raya dibuat di negeri itu, menjadikan jumlah keseluruhannya sebanyak 34.

Beliau berkata terdapat lorong khas yang dikhususkan untuk lori yang mengangkut makanan dan barangan keperluan lain.

“Barisan hadapan dari sektor kesihatan dan sektor lain dengan pas atau surat khas yang memerlukan mereka berkhidmat dalam industri penting boleh menggunakan lorong itu,” katanya kepada pemberita di ibu pejabat polis negeri, hari ini.

Sahabudin berkata, 5 individu didakwa di mahkamah dengan kesalahan berkaitan PKP di negeri itu.

Mereka terdiri daripada 2 lelaki berusia 32 dan 34 tahun yang didakwa memandu tanpa lesen dan menghina polis pada 25 Mac; seorang lelaki berusia 37 tahun dari Bukit Mertajam yang enggan bersurai ketika melepak di sebuah tempat letak kereta di flat di Desa Wawasan; dan 2 lelaki dalam kereta yang melanggar sekatan jalan raya di Jalan Sultan Azlan Shah di Bayan Baru.

Pulau Pinang mencatatkan 74 kes Covid-19 sehingga semalam, dengan majoriti kes yang dilaporkan di kawasan Bukit Mertajam dan George Town.