Padi Rescue seru kerajaan tambah bekalan beras ketika krisis Covid-19

Mengikut statistik Kementerian Pertanian, seorang rakyat Malaysia menggunakan 80kg beras setahun. (Gambar Fail)

PETALING JAYA: Badan Bertindak Selamatkan Industri Padi dan Beras (Padi Rescue) menyeru kerajaan menambah bekalan beras di pasaran ketika berdepan wabak Covid-19, ditambah perintah kawalan pergerakan yang berlangsung dari 18 Mac hingga 14 April.

Koordinator Padi Rescue, Nur Fitri Amir Muhammad berkata ia mesti ditambah agar dapat bertahan selama 6 bulan hingga setahun lebih-lebih lagi dengan ramalan kemelesetan ekonomi pasca Covid-19 seluruh dunia.

“Dalam keadaan krisis, bekalan beras stockpile negara dan bekalan beras di pasaran seharusnya dapat bertahan selama 3 bulan dan ia memadai sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan ini.

“Namun, jika didapati jumlah sebenar stok tidak mencukupi atau krisis ini akan berpanjangan, pihak kerajaan mesti segera melaksanakan misi membawa masuk bekalan beras melalui saluran ‘government to government’ untuk melangkau ‘export ban’ atau membawa masuk bekalan dari negara lain,” katanya dalam satu kenyataan.

Nur Fitri berkata pihaknya pernah menegaskan jaminan bekalan makanan mencukupi sebenarnya perlu bermula sejak awal lagi sewaktu keadaan aman.

“Namun masih belum terlambat untuk kerajaan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) melakukan tindakan segera bagi menangani kejadian yang tidak diingini akibat daripada krisis bekalan makanan ketika pandemik seperti ini,” katanya.

Beliau memetik statistik Kementerian Pertanian yang menunjukkan seorang rakyat Malaysia menggunakan 80kg beras setahun.

Katanya, ketika ini bekalan beras diedarkan mengikut permintaan pasaran terutamanya ke kawasan bandar dan jika krisis makanan berlaku, MKN mesti memastikan bekalan makanan diedarkan mengikut keperluan setiap daerah, mukim/bandar dan kampung/taman perumahan termasuklah kawasan Orang Asli.

“Jika tidak, pembelian panik akan menyebabkan bekalan dibekalkan berlebihan di kawasan bandar. Kejadian pembelian pukal oleh individu tidak bertanggungjawab telahpun mula dilihat berlaku di Lembah Klang,” katanya.