Tiba-tiba nama ‘Makcik Kiah’ jadi trending selepas disebut dalam ucapan PM

Trending no 1 di Twitter gara-gara nama ‘Makcik Kiah’ disebut dalam ucapan PM. (Gambar Twitter)

Sudah tentu semua rakyat Malaysia tersenyum dan gembira mendengar pengumuman daripada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berhubung “Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat” ekoran perintah kawalan pergerakan disebabkan penularan wabak Covid-19 yang sehingga kini telah dilanjutkan sehingga 14 April.

Ini kerana bantuan yang diberikan kepada rakyat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan kali ini lebih menyeluruh kepada semua lapisan masyarakat yang ada di Malaysia.

Insentif yang diumumkan ini membuktikan tiada satu pun rakyat Malaysia yang tertinggal atau tidak dibantu.

Namun apa yang menarik perhatian ialah contoh yang diberikan oleh Muhyiddin menjadi bualan netizen dan trending di Twitter.

Pelbagai kartun yang direka netizen sebagai hiburan.

Ini kerana beliau menggunakan nama “Makcik Kiah” sebagai contoh untuk memudahkan orang ramai mudah faham dengan ucapan beliau.

Rata-rata netizen terhibur dengan ucapan perdana menteri itu.

Malah, ada juga yang berseloroh ingin tahu siapa sebenarnya “Makcik Kiah” yang disebut-sebut dan tertanya-tanya sama ada “Makcik Kiah” tersebut wujud atau tidak.

Namun jangan salah faham, contoh yang digunakan Muhyiddin adalah bagi mudah orang ramai faham situasi dan insentif bantuan yang diumumkan kerajaan.

Berdasarkan tinjauan di Twitter ketika ini, nama “Makcik Kiah” kini sudah trending menunjukkan ramai orang sedang bercakap tentang “Makcik Kiah”.

Malah turut terpalit sebuah kedai makan yang menggunakan nama “Warung Makcik Kiah” yang terletak di Sri Petaling.

Warung Makcik Kiah secara tiba-tiba menjadi trending dan menjadi sebutan netizen.

Makcik Kiah digambarkan sebagai pengusaha pisang goreng. Suaminya pemandu e-hailing. Anaknya pula peminjam Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Sebenarnya, Makcik Kiah mewakili golongan marhaen. Dia boleh menjadi sesiapa sahaja. Khususnya mereka yang berpendapatan isi rumah bawah RM4, 000 serta layak menikmati pelbagai bentuk bantuan PRIHATIN.

Makcik Kiah digambarkan menerima Bayaran Prihatin Nasional sebanyak RM1600, baki BSH RM600, bantuan pesara RM500, bantuan tunai e-hailing RM500 dan bantuan orang bujang RM800.

Bahkan, kalau suami Makcik Kiah berkhidmat dengan RELA, dia akan dapat RM200 sebulan
sehingga wabak berakhir. Keluarganya mendapat penjimatan sewa PPR 6 bulan iaitu RM744.

Selain, tiga penjimatan penangguhan bayaran untuk tempoh enam bulan; pinjaman kenderaan (RM1800), bayaran bil elektrik (RM120) dan penangguhan bayaran balik PTPTN (RM1200).

Sekiranya Makcik Kiah ada membuat pinjaman kredit mikro untuk perniagaan pisang gorengnya dengan bayaran balik pinjaman RM100 sebulan, Makcik Kiah akan dapat penjimatan RM600.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]