5,084 kluster tabligh belum jalani ujian Covid-19

Dr Noor Hisham menggesa kluster perhimpunan tabligh yang belum menjalani ujian saringan untuk tampil berbuat demikian.

PUTRAJAYA: Seramai 5,084 orang daripada kluster perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling belum menjalani ujian saringan Covid-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, mereka ialah peserta, ahli keluarga mereka dan kontak rapat lain.

Katanya, kira-kira 12,500 peserta tabligh sudah menjalani ujian saringan dengan 1,207 disahkan positif virus itu, 6,648 negatif dan keputusan 4,645 belum diketahui.

“Kami perlu mencari 5,084 yang belum jalani ujian Covid-19. Jadi, kami harap dapat jalankan ujian saringan terhadap mereka,” katanya pada sidang media di Kementerian Kesihatan hari ini.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) sedang bekerjasama rapat dengan polis untuk menjejaki individu terbabit dan menggesa mereka yang belum menjalani ujian itu tampil berbuat demikian.

Sementara itu, Hisham berkata, KKM sedang memfokuskan daerah “hotspot” dalam usaha memerangi virus itu.

Katanya, perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) dilaksanakan di Kampung Dato Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato Ibrahim Majid di Simpang Renggam, Kluang, Johor akibat lonjakan kes dalam tempoh 2 hari.

“Kami percaya terdapat 4 kluster di kawasan itu. Kami berharap boleh membersihkan dan memecah rantaian virus di kedua-dua kampung itu.”

Beliau berkata, KKM sedang memantau semua “hotspot” itu dengan teliti dan akan bertindak jika terdapat lonjakan dalam kes di mana-mana kampung atau daerah.

Katanya, pelan tindakan mereka tidak terhad untuk mengurangkan kes di kawasan “hotspot”, tetapi juga melindungi “kawasan hijau” yang tiada kes Covid-19.

“Ini melibatkan usaha mengenal pasti orang berisiko tinggi yang mungkin membawa jangkitan daripada memasuki kawasan tersebut.”

Hisham berkata, kerajaan menggunakan konsep sama seperti China yang menutup wilayah Hubei, Jiangsu dan Jingxian, serta melindungi Beijing.

“Dengan menggunakan konsep sama sekarang, untuk kawasan panas kami akan meningkatkan PKP, tetapi kawasan hijau, kami perlu lindungi.”

Katanya, di kawasan PKPD, KKM akan ke setiap rumah untuk mengesan kes positif, khasnya mereka yang menunjukkan simptom.

Beliau berkata, terlalu awal untuk bercakap mengenai langkah sepanjang bulan Ramadan, tetapi tumpuan kini ialah memecahkan rantaian jangkitan.

Katanya, sesetengah NGO meramalkan kes di Malaysia akan meningkat kepada 6,300 hingga 9,000 kes.

“Kami berusaha sebaik mungkin untuk mengurangkan kes Covid-19 dan membuktikan ramalan itu tidak betul.”

Mengenai jangka hayat virus Covid-19, Hisham berkata, dalam persekitaran sejuk, ia boleh bertahan sehingga 9 hari dan kira-kira 48 jam dalam keadaan panas serta lembap.

Katanya, KKM sedang menguji kit ujian dari Korea Selatan dan China.