Ambil kira logistik sebagai perkhidmatan perlu, kata pakar ekonomi

Carmelo Ferlito dari Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi berkata, gangguan terhadap rantaian perbekalan akan memberi kesan ke atas bekalan makanan.

PETALING JAYA: Seorang pakar ekonomi menggesa kerajaan supaya memasukkan logistik ke dalam senarai perkhidmatan perlu, dengan berkata, halangan ke atas industri itu akan memberi kesan kepada bekalan makanan.

Carmelo Ferlito dari Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) menggunakan bekalan ayam sebagai contoh ketika membuat gesaan itu.

Beliau memberitahu satu webinar bahawa ladang ayam memerlukan pelbagai peralatan seperti pendingin hawa, ventilator dan pelbagai motor untuk pengeluaran, dan sebahagian daripadanya diperolehi dari luar negara.

Makanan ayam juga diimport, katanya.

“Malah 65% kos pengeluaran ayam datangnya daripada makanan, dan Malaysia tidak mengeluarkan makanan ayam. Hampir 100% daripadanya datang dari India dan Amerika Syarikat.

“Kita mesti benarkan barang-barang ini masuk. Justeru perkhidmatan logistik perlu dipulihkan sebagai satu keperluan penting.

“Jika ayam merupakan satu keperluan, maka semua perkara yang diperlukan untuk menghasilkannya juga mesti dilihat sebagai perlu.”

Felo kanan IDEAS Jayant Menon memberitahu webinar yang sama bahawa pemutusan mana-mana bahagian rantai perbekalan akan menyebabkan seluruh rantaian itu gagal.

“Krisis seperti pandemik Covid-19 yang sedang berlaku memaparkan dengan jelas kerapuhan sistem itu,” katanya.

Menon juga berkata, krisis itu juga memberi kesan ke atas bekalan tenaga kerja susulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Carmelo berkata, cara terbaik bagi menjamin bekalan makanan domestik yang konsisten ialah memastikan kegiatan ekonomi terus berjalan sejauh mana ia dibenarkan oleh keadaan pada masa ini.

Beliau berkata, saringan besar-besaran Covid-19 boleh membantu kerana ia akan mengenal pasti pekerja yang bebas virus berkenaan.

“Kita perlu sedar tentang perkaitan dalam rantai perbekalan,” katanya.

“Saya tahu bahawa sesetengah pasar raya bergelut dengan masalah beg plastik dan pengeluar makanan dengan isu bekas plastik.

“Semua peringkat (pengeluaran) itu perlu kekal berkait, tetapi dalam persekitaran yang selamat dari sudut perubatan.”

Beliau berkata, jika saringan besar-besaran dibuat, maka pekerja boleh bekerja dalam persekitaran yang selamat.

“Dengan itu kerajaan boleh memastikan kegiatan ekonomi akan pulih secara beransur-ansur, sekali gus menghentikan pemberian subsidi.”