Awasi lonjakan angka syarikat bankrap, kata badan pemikir

Penyelidik berkata, penularan wabak Covid-19 dan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan memberi kesan besar ke atas rantaian perbekalan dan kapsiti pengeluaran negara.

PETALING JAYA: Pengurus penyelidikan sebuah badan pemikir memberi amaran mengenai peningkatan angka syarikat bankrap di sebalik inisiatif kerajaan bagi mengurangkan kesan ekonomi akibat wabak Covid-19 dan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Bercakap kepada FMT, Lau Zheng Zhou daripada Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi berkata, inisiatif itu “tidak akan menyelamatkan semua syarikat yang ada”, walaupun beliau memuji langkah Putrajaya dan Bank Negara Malaysia (BNM) atas dasar segeranya, dengan berkata, ia membawa beberapa kebaikan.

“Mereka mencuba sebaik mungkin bagi meminimumkan dan mengawal jumlah kebankrapan,” katanya.

Beliau menjangkakan jumlah kebankrapan akan meningkat dalam tempoh 6 bulan akan datang.

Beliau berkata, masalah utama yang perlu ditangani ialah ciri luar jangka krisis Covid-19.

“Jadi sukar bagi kerajaan dan syarakt perniagaan untuk membuat rancangan masa depan.”

Beliau mencadangkan supaya kerajaan mengambil pendekatan langkah demi langkah dalam menangani masalah yang timbul sewaktu krisis itu berkembang, selain mengenal pasti sektor ekonomi sasaran yang perlu dibantu.

Lau berkata, Putrajaya juga perlu menamatkan PKP secara berperingkat bagi sesetengah industri apabila inisiatif kesihatan yang dijalankan mula menampakkan hasil.

Ini katanya adalah lebih baik daripada bergantung pada pakej ekonomi bagi membantu syarikat.

Katanya kesan kebankrapan akan segera dilihat melalui kehilangan pekerjaan serta isi rumah yang tertekan dan susulan itu kemerosotan kapasiti pengeluaran negara.

“Apabila syarikat perniagaan gagal, maka akan berlaku gangguan pada rantaian perbekalan. Banyak syarikat akan gagal mendapatkan pembekal. Malah keadaan itu sedang berlaku sekarang.

“Walaupun jika kita berjaya keluar daripada krisis Covid-19 nanti, kita masih terperangkap dengan masalah ekonomi kerana aktiviti pengeluaran telah rosak teruk.

“Jadi penting untuk mengenal pasti industri kritikal dan memperluas senarai barangan perlu secara bertanggungjawab bagi memastikan kita tidak terlalu terkesan berikutan gangguan ke atas kapasiti pengeluaran kita.”

Beliau berkata, pembatalan PKP secara berperingkat dan langkah menambah lebih banyak industri ke dalam senarai barangan perlu akan membolehkan kapasiti pengeluaran meningkat sedikit.

“Jika kita dapat memperluas senarai itu dengan cepat kerana kita berjaya mengesan dan mengawal penyakit tersebut, maka sebahagian daripada masalah kebankrapan, hutang tidak berbayar dan pembuangan pekerja juga dapat ditangani.

“Syarikat dalam senarai itu akan dapat meneruskan perniagaan, mengekalkan pekerja mereka dan mewujudkan sedikit sebanyak permintaan,” katanya.