Lelaki 61 tahun korban ke-27 Covid-19

Anggota perubatan melakukan ujian saringan Covid-19. Jumlah kes positif di Malaysia meningkat kepada 2,320 orang.

PETALING JAYA: Jumlah kematian akibat Covid-19 meningkat kepada 27 orang, selepas seorang lelaki berusia 61 tahun yang menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi meninggal dunia hari ini.

Warga emas yang merupakan kes ke-2,162 itu dirawat di Hospital Tangkak pada 24 Mac lalu, sebelum dipindahkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah di Muar keesokannya dan meninggal dunia pada 10.50 pagi tadi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, terdapat 159 kes baru dicatatkan hari ini, menjadikan keseluruhannya 2,320 orang.

“Sehingga kini, seramai 73 pesakit positif Covid-19 sedang dirawat di unit rawatan rapi. Daripada jumlah tersebut, 54 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata, 61 pesakit sembuh sepenuhnya dan dibenarkan pulang hari ini, menjadikan semuanya 320 kes setakat ini.