Pesakit bunuh diri di Hospital Serdang negatif Covid-19

Seorang pesakit berusia 62 tahun ditemui meninggal dunia di tandas wad Hospital Serdang pada Jumaat malam.

PUTRAJAYA: Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah menafikan seorang pesakit dalam pemerhatian bagi Covid-19 membunuh diri di Hospital Serdang semalam.

“Kita dah buat ujian saringan Covid-19 dia dan hasilnya negatif.

“Sesiapa yang masuk ICU (unit rawatan rapi) akan diuji untuk Covid-19,” katanya pada sidang media di Kementerian Kesihatan hari ini.

Terdahulu, sumber di Hospital Serdang mengesahkan kejadian itu, tetapi enggan mendedahkan maklumat lanjut sementara menunggu kenyataan rasmi daripada pihak pengurusan.

Ketua Polis Daerah Sepang, Wan Kamarul Azran Wan Yusof dipetik Bernama sebagai berkata, seorang lelaki di bawah pemantauan (PUI) Covid-19, ditemui meninggal dunia di tandas wad Hospital Serdang malam semalam.

Beliau dipetik Bernama sebagai berkata, pesakit berusia 62 tahun itu dimasukkan ke hospital Khamis lalu dan mayatnya ditemui pada 7.40 malam Jumaat.

Insiden bunuh diri membabitkan pesakit Covid-19 bukan perkara baru, dengan kes sedemikian dilaporkan di Itali dan India beberapa hari lalu.

Pada 25 Mac lalu, seorang jururawat yang bertugas di barisan depan Itali membunuh diri selepas disahkan dijangkiti virus itu kerana bimbang beliau menjangkiti orang lain.

Pada 18 Mac lalu, seorang lelaki yang disyaki positif Covid-19 terjun dari tingkat 7 sebuah hospital di New Delhi.