Najib tolak dakwaan PH berjimat mungkinkan pakej rangsangan ekonomi

Bekas perdana menteri Najib Razak berkata, kerajaan Pakatan Harapan menambah hutang langsung kerajaan sebanyak RM140 bilion.

PETALING JAYA: Bekas perdana menteri Najib Razak menolak kenyataan bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) menyelamatkan banyak dana negara selama 22 bulan ia berkuasa.

Dalam satu hantaran di Facebook, Najib mendakwa PH berbohong dengan propaganda bahawa kerajaan baru mampu menyediakan pakej rangsangan RM250 bilion untuk mengatasi kesan Covid-19 kerana penjimatan yang dibuat di bawah pentadbiran mereka sebelum ini.

Katanya, sebahagian daripada propaganda PH itu adalah untuk menanam tanggapan bahawa bekas pentadbiran Barisan Nasional (BN) berbelanja secara berlebihan dan meningkatkan hutang negara, manakala PH berbelanja dengan berjimat.

Dengan memetik data Kementerian Kewangan, Najib menyenaraikan perbelanjaan pengurusan dan pembangunan kerajaan dari tahun 2016 hingga 2020, seperti berikut:

  • 2017 (BN): RM217.7 billion + RM45 billion
  • 2018 (PH): RM231 billion + RM54.4 billion
  • 2019 (PH): RM262.3 billion + RM53.7 billion
  • 2020 (PH): RM241 billion + RM55.2 billion

Najib turut menyenaraikan data mengenai kenaikan jumlah hutang langsung kerajaan, yang melibatkan pinjaman dalam dan luar negara:

  • 2016 (BN): RM37.7 bilion + RM0.8 bilion
  • 2017 (BN): RM40.7 bilion – RM0.34 bilion (bayar balik hutang asing)
  • 2018 (PH): RM54..4 bilion – RM0.32 bilion (bayar balik hutang asing)
  • 2019 (PH): RM44.7 bilion + RM7.8 bilion (bon Samurai)
  • 2020 (sehingga PH tumbang): RM30.3 bilion

Secara keseluruhannya, beliau berkata, kerajaan PH telah meningkatkan hutang langsung negara sebanyak RM140 bilion dan angka itu tidak termasuk jaminan pinjaman kerajaan sebanyak RM46 bilion untuk projek Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang.

Realitinya, kata Najib, perbelanjaan oleh pentadbiran PH lebih banyak daripada BN, manakala paras defisit juga lebih tinggi.

“PH meminjam (dan menjamin hutang) jauh lebih banyak berbanding BN. Belum masuk lagi hasil daripada menjarah Petronas dan jualan lambak aset negara.”

Beliau berkata di bawah PH, nilai aset Khazanah Nasional turun daripada RM116 bilion kepada RM73 bilion, manakala RM104 bilion diambil daripada Petronas rizab sebanyak RM174 bilion.

Ekonomi negara begitu buruk semasa pentadbiran PH sehingga pasaran saham Malaysia menjadi paling buruk, hatta sebelum berlakunya pandemik Covid-19, katanya.

“Dividen-dividen danaseperti ASB, KWSP, Tabung Haji menjadi paling rendah dalam sejarah.

“Dalam keadaan seperti ini, mana mungkin kekayaan negara boleh naik dalam masa PH?”

Najib mempersoalkan sekiranya ada pemimpin PH yang berani mempertikaikan fakta dan data daripada Kementerian Kewangan.