Pakej rangsangan kepada SME tidak cukup, kata majikan Sabah

Presiden Persatuan Majikan Sabah Yap Cheen Boon berkata, majikan dan pekerja harus dibenarkan bekerjasama mencari penyelesaian terbaik bagi menjamin kelangsungan perniagaan syarikat.

KOTA KINABALU: Persatuan majikan Sabah mengkritik pakej rangsangan ekonomi diumumkan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin semalam kerana kurang memberi bantuan yang diperlukan oleh usahawan kecil dan sederhana (SME).

Presidennya Yap Cheen Boon memberitahu FMT bahawa pakej rangsangan itu tidak mengatasi secukupnya kebimbangan SME berhubung aliran tunia dan kos gaji.

“Subsidi upah RM600 hanya memberi masa untuk bulan April kepada sebilangan SME,” katanya.

Katanya, tanpa aliran tunai yang mencukupi, ekonomi SME hanya “akan merosot” selepas bulan April.

Pakej rangsangan bertujuan mengurangkan kesan krisis Covid-19 itu bernilai RM250 bilion. Daripada jumlah itu, RM100 bilion diperuntukkan kepada sektor perniagaan, termasuk SME.

Sabah Employers Association president Yap Cheen Boon.

“Memandangkan 93% SME berdepan masalah berdasarkan anggaran kerajaan sendiri, maka jumlah dana itu kelihatan terlalu kecil untuk dikongsi oleh semua yang terbabit,” katanya.

“Di Sabah sahaja terdapat kira-kira 50,000 SME dalam semua sektor yang terkesan seperti pelancongan, minyak sawit, balak, pembuatan dan perkhidmatan berkaitan.

“Gambaran sejauh mana SME di negeri ini mendapat akses kepada inisiatif ini tidak begitu optimistik. Ini berdasarkan pengalaman sebelum ini.”

Yap mencadangkan supaya kerajaan menimbangkan “pendekatan fleksibel” mengenai isu pekerja, iaitu membenarkan majikan dan pekerja bekerjasama mencari penyelesaian terbaik bagi memastikan kelangsungan perniagaan syarikat.

Dalam mengambil pendekatan itu katanya, pihak terbabit hendaklah memanfaatkan sebaik mungkin tawaran yang disediakan dalam pakej rangsangan tersebut.

Beliau juga menggesa agensi kerajaan supaya memudahkan dan mempercepatkan proses permohonan bantuan, selain merendahkan kriteria kelayakan agar tiada SME yang tercicir.