Polis buka laluan khas di semua sekatan jalan raya untuk petugas, kontena makanan

Polis berkata, kenderaan perdagangan seperti lori kontena membawa bahan makanan dan keperluan asas dibenarkan menggunakan laluan khas di semua sekatan jalan raya sepanjang tempoh PKP.

KUALA LUMPUR: Polis membuka laluan khas kepada petugas barisan hadapan yang melalui semua sekatan jalan raya dilaksanakan dalam tempoh penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP) sehingga 14 April ini.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Azisman Alias berkata, laluan yang dibuka sejak semalam itu akan digunakan petugas Kementerian Kesihatan seperti doktor dan jururawat, polis, Angkatan Tentera Malaysia serta agensi bertugas sepanjang tempoh PKP.

Katanya, kenderaan perdagangan seperti lori kontena membawa bahan makanan dan keperluan asas juga dibenarkan menggunakan laluan itu.

“Tujuan laluan ini dibuka adalah untuk memastikan petugas ini segera sampai ke destinasi masing-masing dan tidak terperangkap dalam kesesakan lalu lintas semasa pemeriksaan di sekatan jalan raya.

“Langkah ini sedikit sebanyak membantu memudahkan pergerakan terutama pada waktu pagi atas urusan ke tempat kerja,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, PLUS Malaysia Berhad akan membantu memaparkan maklumat mengenai pembukaan laluan khas ini pada paparan elektronik VMS (Variable Message System) di semua lebuh raya seliaannya.

“Saya masih merayu kepada pengguna jalan raya yang tidak berkaitan untuk tidak keluar. Duduk di rumah,” katanya.

PKP dikuatkuasakan mulai 18 Mac hingga 14 April bagi membasmi Covid-19.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan orang ramai kempen pembayaran saman secara dalam talian dengan pemberian diskaun sehingga 50% yang dilaksanakan sejak Rabu lepas akan tamat esok.

“Orang ramai yang mempunyai tunggakan saman diminta mengambil peluang untuk membuat pembayaran saman secara dalam talian di rumah,” katanya.