Putrajaya cuba dapatkan RM1 bilion dana 1MDB dari DoJ

DoJ memulangkan hampir AS$200 juta dana 1MDB kepada Malaysia pada Mei 2019. (Gambar Reuters)

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan berusaha mendapatkan wang yang didakwa dicuri daripada 1MDB, kata Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata, agensi kerajaan berkaitan dan Jabatan Peguam Negara sedang mengusahakannya.

“Agensi kerajaan, Jabatan Peguam Negara sedang meneliti perkara ini. Ia sepatutnya dalam jadual untuk mendapat wang tersebut. Kami sedang mengusahakannya,” katanya kepada Bernama mengenai kemungkinan kelewatan dalam membawa balik wang tersebut.

Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) dilapor menangguhkan pemulangan AS$240 juta (RM1 bilion) dana 1MDB dengan menyatakan ketidaktentuan politik berpunca daripada peletakan jawatan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri pada 24 Feb lalu.

Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ke-8 pada 1 Mac lalu.

DoJ memulangkan hampir AS$200 juta kepada Malaysia pada Mei 2019.