Sarawak umum tambahan RM16.4 juta bantuan makanan kepada golongan miskin

Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg (tengah, duduk) berkata, bantuan makanan kepada golongan miskin adalah tambahan kepada pakej Sarawakku Sayang yang diumumkan Isnin lepas.

KUCHING: Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg mengumumkan peruntukan tambahan RM16.4 sebagai bantuan makanan kepada golongan miskin di luar bandar dan kawasan tertentu di bandar bagi mengurangkan kesan pandemik Covid-19 di negeri itu.

Beliau berkata, bantuan kewangan itu juga diberikan kepada golongan gelandangan dan mereka yang kehilangan pekerjaan.

“Ini adalah tambahan kepada pakej Sarawakku Sayang bernilai RM1.15 bilion yang diumumkan oleh kerajaan negeri pada Isnin bagi mengurangkan beban rakyat,” katanya pada satu sidang media di sini hari ini.

Dalam pada itu Timbalan Ketua Menteri Awang Tengah Ali Hassan yang turut mengetuai jawatankuasa kecil rantaian bekalan makanan berikutan wabak Covid-19 berkata, kerajaan negeri akan memastikan setiap titik jualan di kawasan luar bandar mempunyai bekalan makanan yang mencukupi.

“Kami akan benarkan syarikat pengangkutan membawa makanan ke titik jualan ini,” katanya.

Beliau berkata, melalui jawatankuasa kecil rantaian bekalan makanan itu kerajaan negeri akan bekerjasama dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat serta tentera bagi memastikan bekalan makanan sampai dengan berkesan kerana keadaan jalan kebanyakannya buruk.

Komuniti di pedalaman umumnya menggunakan jalan balak, jejak hutan yang sukar atau bot.

“Kita telah kenal pasti beberapa kawasan di pedalaman seperti di Bario, Belaga, Baram Ba’kelalan, Long Semado, Pulau Bruit, Kaput dan beberapa tempat lain.

“Kita juga akan bekerjasama dengan Jawatankuasa Bencana Daerah dan penduduk setempat bagi memastikan pengagihan dilakukan dengan betul,” katanya.

Abang Johari berkata, semua kos pengangkutan barangan makanan ke kawasan luar bandar akan ditanggung oleh kerajaan negeri.