Walaupun kejam tapi perintah berkurung di Wuhan berkesan!

Pengawal keselamatan berkawal di luar Stesen Kereta Api Hankou di Wuhan selepas China menutup bandar itu dalam penularan Covid-19. (Gambar AP)

Apabila China mengumumkan mereka akan mengenakan sekatan ke atas Wuhan yang merupakan pusat tersebarnya wabak Covid-19 sebagai usaha mencegah penularannya, seluruh dunia terkejut dan para pakar ragu dengan keputusan itu,

Para pakar epidemiologi beri amaran keputusan yang dibuat oleh Beijing ini merupakan satu eksperimen besar yang mungkin tidak akan berhasil walaupun mengeluarkan kos tinggi dan tenaga manusia yang ramai.

Tindakan kuarantin tidak pernah dilakukan di dalam dunia serba moden ini.

Ini kerana populasi di Wuhan sahaja mencecah 11 juta, ditambah pula dengan penduduk di bandar-bandar berdekatan yang juga tertakluk kepada perintah berkurung ini menjadikan jumlahnya sekitar 60 juta orang.

Ini sekaligus menjadikan kuarantin Wuhan sebagai yang terbesar dalam sejarah dan persoalan mengenai dasar itu berlangsung selama berminggu-minggu.

Namun setelah 2 bulan berlalu sejak Wuhan ditutup pada 23 Januari 2020, pendekatan yang diambil oleh Beijing nampaknya membuahkan hasil.

China melaporkan hari pertamanya tanpa kes Covid-19 domestik dan semua kes yang baru dikenal pasti sebagai kes import dari luar negara.

Negara-negara yang mengalami wabak Covid-19 dengan teruk sendiri telah mengenakan langkah-langkah yang sama iaitu dari Itali dan Sepanyol hinggalah ke Jerman dan California serta India.

Namun, tiada yang seketat seperti yang dilakukan di Wuhan.

Bermula selepas beberapa jam perintah itu diumumkan, pengangkutan masuk dan keluar dari bandar Wuhan ditutup, tanpa pengecualian walaupun untuk kecemasan peribadi dan perubatan.

Pekerja menyembur pembasmi kuman di Wuhan elak sebar Covid-19. (Gambar AP)

Sekolah-sekolah dan universiti pada ketika itu sedang bercuti, tetapi ia dilanjutkan sehingga diberitahu.

Semua kedai ditutup kecuali yang menjual makanan atau ubat.

Kenderaan persendirian dihalang dari jalan raya tanpa izin khas, dan kebanyakan pengangkutan awam dihentikan membuatkan jalan raya menjadi kosong dan sunyi.

Pada mulanya orang awam dibenarkan keluar daripada rumah mereka, tetapi sekatan diperketakan tak lama kemudian.

Sesetengah kawasan mengehadkan bilangan orang yang boleh keluar rumah kepada seorang sahaja bagi setiap keluarga, dengan kekerapan sekali setiap 2 hari untuk membeli barang keperluan asas.

Manakala kawasan yang lain menghalang penduduk dari keluar rumah, membuatkan orang awam terpaksa memesan makanan dan bekalan lain daripada kurier.

Tak lama kemudian, dasar perintah berkurung ini menjadi lebih agresif, dengan pihak berkuasa pergi dari rumah ke rumah untuk melakukan ujian kesihatan dan memaksa sesiapa yang sakit untuk mengasingkan diri.

Seorang kanak-kanak lelaki kurang upaya dilaporkan meninggal dunia selepas di tinggalkan tanpa makanan, air atau bantuan apabila bapa dan abangnya dikuarantin.

Kawalan dipertingkatkan di seluruh China sebaik sahaja perintah berkurung dilaksanakan di Wuhan, sebahagiannya kerana bimbang orang ramai yang berlumba-lumba untuk meninggalkan bandar itu sebelum ia ditutup akan memperhebatkan lagi penyebaran Covid-19.

Kebanyakan bangunan mempunyai pengawal keselamatan yang memantau suhu badan mereka yang masuk dan kawasan kediaman hanya dibenarkan kepada penduduk sahaja.

Topeng muka boleh dilihat di mana-mana sahaja di seluruh China dan orang ramai perlu memakainya di kebanyakan tempat.

Global Times berkongsi rakaman video di mana pihak berkuasa tempatan menggunakan dron untuk memarahi penduduk di Mongolia yang terletak 1,000 kilometer dari Wuhan, kerana keluar tanpa memakai topeng muka.

Jururawat dan doktor merawat pesakit di unit penjagaan rapi di sebuah hospital di Wuhan. (Gambar AP)

Langkah-langkah yang diambil oleh Wuhan ini bukanlah syarat untuk membendung penyakit ini.

Negara-negara yang mempunyai hubungan kuat dengan China yang bertindak dengan lebih awal dan tegas, termasuklah Taiwan dan Singapura, berjaya mengekang penyakit ini melalui pemeriksaan, ujian dan program yang menyeluruh serta melaksanakan “social distancing” dengan lebih awal.

Chen Xi, penolong profesor di Yale School of Public Health, berkata walaupun dia percaya China berjaya membendung virus itu, namun bukan semua kaedah yang diambil perlu.

“Saya tidak fikir penutupan dan perintah berkurung besar-besaran setakat ini perlu dilaksanakan. Hubei mengambil langkah lockdown ini kerana mereka menutup kebenaran terlalu lama sehingga skala krisis ini melebihi kemampuan mereka,” kata Chen Xi.

Tambah Chen langkah-langkah yang diambil oleh Beijing yang berjaya untuk strategi mitigasi seperti “social distancing”, diagnosis awal, pengasingan awal dan rawatan awal perlu dipertimbangkan secara serius oleh negara-negara lain bagi mengekang wabak Covid-19.

Dan China tidak ambil mudah walaupun keadaan semakin pulih. Sebahagian besar di Wuhan masih berada dalam perintah berkurung, walaupun sesetengah orang dibenarkan bekerja semula dan seluruh negara masih dalam kawalan ketat kerana kebimbangan virus itu akan menular semula.

Kebanyakan restoran dan kedai-kedai mengenakan pemeriksaan suhu dan mengambil maklumat para pelanggan sebelum dibenarkan masuk, atau terdapat kuota kemasukan.

Sesetengah bangunan hanya akan memberi kebenaran masuk kepada mereka yang mempunyai kebenaran, yang diperoleh daripada perisian yang dikenali sebagai “Health code”.

Perisian ini akan memberikan satu daripada 3 warna kepada individu, berdasarkan sejarah perjalanan terbaru mereka.

Pihak berkuasa sangat berhati-hati dengan kes-kes import yang mana boleh merosakkan kejayaan mereka, dengan wilayah Beijing dan Anhui mewajibkan mereka yang datang dari luar negara untuk menjalani kuarantin di kawasan pemerhatian berpusat.

Tempat-tempat lain seperti wilayah Shanghai dan Guangdong mengarahkan semua pelancong dari negara-negara yang sangat terjejas, termasuk UK dan Itali untuk menjalani kuarantin di rumah atau di pusat kerajaan selama 14 hari.

Di sesetengah hotel di Shanghai, semua tetamu akan diwajibkan memeriksa suhu pada waktu petang.

Penduduk Wuhan di wilayah Hubei akan dibenarkan meninggalkan bandar itu bermula 8 April jika mereka diberi isyarat daripada aplikasi kesihatan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa China.

Penduduk di kawasan lain di Hubei dibenarkan untuk bergerak bermula 20 Mac lalu.

Setelah beberapa bulan berlalu, langkah-langkah drastik diambil Beijing ini terbukti berkesan untuk memerangi wabak Covid-19, walaupun kelihatan seperti keterlaluan dan mengundang kontroversi serta kritikan.

Walau apa pun, seperti yang dilaporkan iluminasi.com kerjasama dari rakyat China adalah sesuatu yang memberi kesan hebat dalam hal ini, sesuatu yang perlu dicontohi oleh rakyat Malaysia.

Ketika ini, rakyat Malaysia dilihat masih tidak memandang serius dengan wabak berbahaya ini.

Bagi kebanyakan daripada kita, sikap “aku tak akan dijangkiti Covid-19” sangat membimbangkan dan boleh membawa padah.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]