Wan Azizah, Hannah harap warga kerja JKM turut diberi elaun khas

Semalam kerajaan mengumumkan elaun khas sebanyak RM200 sebulan kepada anggota tentera, polis, kastam, imigresen, angkatan pertahanan awam serta Rela yang terlibat secara langsung dalam pelaksanakan perintah kawalan pergerakan.

PETALING JAYA: Bekas menteri dan timbalan menteri, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) berharap warga kerja Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang terlibat dalam pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) juga diberi elaun khas.

Dalam kenyataan bersama, Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Hannah Yeoh berkata, warga JKM terlibat secara langsung dalam pelaksanaan PKP, tetapi tidak termasuk dalam senarai kumpulan penerima yang diumumkan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) semalam.

“Kami mengalu-alukan peruntukan elaun khas sebanyak RM200 sebulan kepada anggota tentera, polis, kastam, imigresen, angkatan pertahanan awam serta Rela yang terlibat secara langsung dalam melaksanakan PKP.

“Mungkin kerajaan terlepas pandang akan peranan JKM. Warga kerja JKM yang menjalankan tugas-tugas penguatkuasaan PKP perlu diiktiraf sebagai petugas barisan hadapan dan dengan itu dimasukkan dalam senarai penerima.

“Kerajaan juga perlu menyediakan peralatan perlindungan yang sesuai untuk mereka demi melindungi mereka daripada Covid-19,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin mengumumkan pakej rangsangan ekonomi prihatin rakyat untuk menangani impak pandemik Covid-19 yang jumlahnya lebih 10 kali ganda daripada RM20 bilion yang diumumkan bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad bulan lalu.

Ia terdiri daripada RM128 bilion untuk kebajikan rakyat, RM100 bilion bagi menyokong perniagaan dan RM2 bilion untuk memperkukuhkan ekonomi negara, selain RM20 bilion yang diumumkan dalam pakej terdahulu.