1 atau 2 zon di Selangor mungkin dikenakan PKPD

Dr Noor Hisham Abdullah berkata, satu atau 2 zon di Selangor akan dikenakan PKPD.

PUTRAJAYA: Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihak berkuasa mungkin melaksanakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di “satu atau 2” kawasan di Selangor seperti di Simpang Renggam, Johor.

Khamis lalu, PKPD dilaksanakan di Kampung Dato Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato Ibrahim Majid di Simpang Renggam, Kluang susulan lonjakan kes Covid-19.

Kira-kira 3,500 penduduk di 2 kawasan itu tidak dibenarkan keluar dari rumah dan semua aktiviti perniagaan dihentikan.

“Sekarang lihat taburan jangkitan di Selangor, kawasan mana, zon mana tertinggi.

“Kita dah kenal pasti mungkin satu atau 2 zon di Selangor yang mungkin ambil tindakan seperti mana tindakan diambil di Simpang Renggam.”

Hisham berkata, 97 kes baru dilaporkan di daerah Kluang hari ini, termasuk 81 kes di Bandar Baharu Dato Ibrahim Majid yang membabitkan 4 orang daripada kluster Masjid Sri Petaling.

“Kes di luar Bandar Baharu Dato Ibrahim Majid adalah 16 kes, iaitu satu daripada kluster Sri Petaling dan 15 kes lain.”

Katanya, tiada kematian dilaporkan di Simpang Renggam setakat ini, tetapi kawalan di sana diperketatkan.

“Kita akan laksanakan pembersihan, nyahkuman dan disusuli pemeriksaan rumah ke rumah dan individu yang kita syaki.”

Kit ujian China 

Hisham berkata, kit ujian sumbangan China yang diterima 2 hari lalu bukan kit ujian pantas dikaji Kementerian Kesihatan sebelum ini.

Katanya, kit ujian baru itu “Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (rRT-PCR) sedang digunakan makmal.

Beliau berkata, pengambilan pertama 3,000 kakitangan sudah dilakukan 18 Mac lalu.

Sementara itu, Hisham berkata, pusat kuarantin dan rawatan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps) akan digunakan, jika kes baru naik mendadak sehingga 1,000 kes sehari.

Semalam, Hisham dilaporkan berkata, 600 katil ditempatkan di 2 dewan Maeps sebagai persediaan terhadap kemungkinan berlaku peningkatan drastik pesakit Covid-19 yang dijangka pada pertengahan April.

Katanya, pesakit positif Covid-19 yang tidak bergejala dan bergejala ringan akan dirawat di pusat itu.