7 kematian Covid-19, korban tertinggi dalam sehari

Dr Noor Hisham Abdullah bercakap pada sidang media di Putrajaya hari ini.

PUTRAJAYA: Tujuh kematian akibat Covid-19 dicatatkan hari ini, menjadikan keseluruhan 34 kes korban.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, keseluruhan 2,470 orang dijangkiti Covid-19 setakat ini, termasuk 150 kes baru hari ini.

“Sehingga kini, seramai 73 pesakit positif Covid-19 sedang dirawat di unit rawatan rapi.

“Daripada jumlah tersebut, 52 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata, 68 pesakit sembuh sepenuhnya dan dibenarkan pulang hari ini, menjadikan semuanya 388 kes setakat ini.

Hisham berkata, 7 kematian terbaru membabitkan 5 lelaki dan 2 wanita berusia 27 hingga 91 tahun dengan 6 daripada mempunyai sejarah penyakit kronik.

“Daripada 34 kematian berkaitan Covid-19 yang direkodkan setakat ini, didapati 55.6% berumur 60 tahun dan ke atas, manakala 67.6% menghidap penyakit kronik, misalnya diabetes, hipertensi, penyakit buah pinggang dan jantung.”

Beliau berkata, kematian ke-28 (kes ke-2,321) ialah wanita tempatan berusia 91 tahun (pesakit paling tua) yang menghidap kencing manis, darah tinggi dan buah pinggang.

“Beliau dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada 26 Mac. Beliau disahkan meninggal dunia pada 28 Mac jam 8.48 pagi.”

Katanya, kematian ke-31 (kes ke-2,323) ialah lelaki tempatan berusia 27 tahun yang menghidap kencing manis, darah tinggi dan buah pinggang.

Katanya, pesakit paling muda itu dirawat di PPUM pada 27 Mac lalu dan disahkan meninggal dunia pada 7.44 malam Sabtu.

Berikut butiran mengenai 5 kematian lain:

• Kes kematian ke-29 (kes ke-2,123) ialah wanita tempatan berumur 64 tahun. Beliau mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan darah tinggi. Beliau dirawat di Hospital Tuanku Jaafar, Negeri Sembilan pada 25 Mac 2020. Beliau disahkan meninggal dunia pada 10.15 malam 28 Mac.

• Kes kematian ke-30 (kes ke-2,322) ialah lelaki tempatan berumur 76 tahun. Beliau mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan buah pinggang. Beliau dirawat di PPUM dan meninggal dunia pada 11.33 malam 28 Mac.

• Kes kematian ke-32 (kes ke-1,239) ialah lelaki tempatan berusia 50 tahun. Beliau mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi. Beliau ialah peserta perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling. Beliau dirawat Hospital Enche’ Besar Hajjah Kalsom, Johor pada 22 Mac dan meninggal dunia pada 7.44 malam 28 Mac.

• Kes kematian ke-33 (kes ke-1,249) ialah lelaki tempatan berumur 37 tahun. Beliau mempunyai sejarah perjalanan ke India. Beliau dirawat di Hospital Permai, Johor pada 21 Mac dan meninggal dunia pada 11.25 malam 28 Mac.

• Kes kematian ke-34 (kes ke-787) ialah lelaki tempatan berumur 77 tahun. Beliau mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi. Beliau dirawat di Hospital Kuala Lumpur pada 18 Mac dan meninggal dunia pada 10.40 pagi tadi.

Hisham berkata, Kementerian Kesihatan meningkatkan keupayaan ujian saringan dengan bantuan sektor swasta dan kementerian lain, iaitu Kementerian Pengajian Tinggi serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

Katanya, 2 kementerian itu menyediakan 10 makmal diagnostik di institusi pengajian tinggi dan hospital universiti untuk melakukan tambahan 1,414 ujian sehari atau 42,420 ujian dalam sebulan.

Beliau berkata, KKM merayu lebih ramai individu tampil sebagai sukarelawan untuk menyertai pasukan bantuan perubatan dan kesihatan Covid-19.

Setakat ini, katanya, 157 sukarelawan daripada bidang perubatan bersama pasukan itu dan 1,008 lagi akan menyertainya.