Covid-19: 649 lagi ditahan langgar perintah kawalan pergerakan

Pihak berkuasa dibenarkan mengambil tindakan tegas seperti mengeluarkan kompaun kepada mereka yang ingkar perintah kawalan pergerakan bagi mencegah penularan wabak Covid-19.

PETALING JAYA: 649 individu ditangkap kerana pelbagai kesalahan berkait perintah kawalan pergerakan (PKP) semalam, apabila pihak berkuasa meningkatkan penguatkuasaan ke atas pengerakan orang ramai bagi membendung penularan jangkitan Covid-19 di seluruh negara.

Bercakap kepada media selepas mesyuarat harian Majlis Keselamatan Negara (MKN), Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob berkata, angka tersebut merupakan 2 kali ganda jumlah orang yang ditangkap pada Jumaat.

Mengulas lanjut, beliau berkata daripada jumlah itu , seramai 73 individu sudah dituduh di mahkamah dan mengaku bersalah atas kesalahan masing-masing.

Untuk rekod, 320 tangkapan dibuat oleh pihak berkuasa semalam.

“Ini bermakna masih ada lagi yang ingkar kepada arahan berkenaaan (PKP),” katanya di Putrajaya hari ini.

Ketika ditanya kenapa terdapat tangkapan dibuat sedangkan orang ramai masih dibenarkan keluar untuk mendapatkan barangan keperluan, Ismail berkata, terdapat pihak-pihak yang memanipulasi syarat itu.

Jelasnya, terdapat kes yang mendapati individu keluar rumah 4 kali sehari dengan alasan untuk membeli barangan keperluan.

Selain itu katanya, terdapat juga individu yang ditemui melepak di kedai kopi dan berbual santai meskipun tidak dibenarkan keluar dari rumah.

Atas sebab itu katanya, pihak polis dan tentera dibenarkan mengambil tindakan lebih tegas seperti mengenakan kompaun dan mendakwa pelaku ke mahkamah.

Pada perkembangan lain, Ismail berkata MKN diberi taklimat bahawa bekalan makanan mencukupi sepanjang tempoh PKP berjalan.

Orang ramai dinasihati mengelakkan diri daripada membuat pembelian panik kerana barangan masih boleh dibeli seperti biasa, katanya.