Kesian ‘frontliner’… Doktor letih, bekalan PPE semakin kurang

Pasukan perubatan yang berada di barisan hadapan bertungkus lumus melakukan segala pemeriksaan yang diperlukan untuk pastikan tiada jangkitan Covid-19.

Isu doktor letih bukanlah satu perkara yang asing. Ia masalah yang tidak dapat dielakkan berikutan kekangan bajet kerajaan untuk mengambil sebilangan besar doktor pelatih dalam satu masa yang sama.

Perkara ini kelihatan lebih parah sewaktu kemaraan wabak Covid-19.

Pekerja kesihatan terpaksa mengambil tanggungjawab yang berat selain daripada bekerja lebih masa untuk memastikan kebajikan pesakit terjaga.

Namun, tahukah anda, kelesuan ini bukan sahaja berbahaya kepada doktor tersebut, malah pesakit.

Jumlah kes positif di seluruh dunia pula semakin meningkat hari demi hari.

Doktor letih berisiko tinggi untuk dapat jangkitan Covid-19

Pekerja kesihatan yang bekerja sebagai “frontliner” kebanyakannya berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan Covid-19.

Wabak tersebut mempunyai kadar transmisi yang sangat tinggi dalam kalangan individu.

Apa yang lebih menakutkan adalah kelengkapan perlindungan peribadi (PPE) seperti topeng muka dan baju perlindungan semakin berkurangan.

Jika masalah seperti ini tidak diselesaikan, pegawai perubatan terpaksa mencari alternatif lain.

Pernah tular video yang menunjukkan pekerja kesihatan dipakaikan dengan plastik sampah yang telah diubahsuai. Ini bukanlah satu berita yang baik.

Di Wuhan, sewaktu kes virus Covid-19 sedang memuncak dan PPE telahpun kehabisan, doktor terpaksa merawat pesakit tanpa menggunakan kelengkapan perlindungan.

Tindakan memperjudikan nyawa itu kelak boleh membawa padah.

Di Itali, jumlah pekerja kesihatan yang telah dijangkiti hampir mencecah 3,000 individu.

Jumlah kematian pula meningkat setiap hari. Ini merangkumi 9% daripada jumlah kes positif di negara tersebut, jauh lebih tinggi daripada jumlah yang direkodkan di China.

Sudah berapa kali kita lihat gambar pekerja kesihatan yang tidur di atas lantai kerana terlalu letih.

Hakikatnya, masalah tidak cukup tidur dan kelesuan boleh mempengaruhi kekuatan sistem imun badan.

Apabila kita tidur, badan akan mengeluarkan protein yang mempunyai sifat perlindungan dikenali sebagai sitokin.

Bagi individu yang tidak cukup tidur, penghasilan sitokin ini kurang menyebabkan fungsi pertahanan badan menjadi lemah.

Sepanjang musim wabak, pekerja kesihatan terpaksa bersekang mata bagi membendung penularan virus.

Tahap perlindungan mereka bergantung kepada tahap kesihatan, pemakaian PPE, kelesuan dan tahap stres ketika bekerja.

Jika aspek penjagaan diri kurang diberi perhatian, tahap kesihatan individu akan merudum.

Dana tambahan dan penubuhan akaun khas sumbangan KKM untuk tambah PPE dan pekerja kesihatan

Wabak Covid -19 tidak menunjukkan tanda-tanda ia akan berundur awal.

Melihat kepada sumber yang semakin berkurangan, kerajaan menyalurkan sejumlah wang kepada kementerian bagi membeli kelengkapan penting seperti alat bantuan pernafasan, reagan, ubat-ubatan dan bahan pakai buang.

Melalui pengumuman yang dibuat pada 27 Mac 2020 oleh Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin:

Peruntukan sebanyak RM500 juta akan diberikan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia bagi menangani penularan wabak Covid-19. Peruntukan tambahan sebanyak RM1 billion bagi pembelian peralatan dan perkhidmatan untuk memerangi Covid -19, termasuk mendapatkan khidmat kepakaran perubatan daripada perkhidmatan kesihatan swasta.

Salah seorang ‘frontliner’ kelihatan keletihan namun tetap bersiap sedia menghulurkan bantuan.

Ia tambahan kepada peruntukan yang diumumkan pada 24 Mac lalu apabila ketika itu perdana menteri mengumumkan RM500 juta diperuntukkan untuk pembelian alat bantuan pernafasan, peralatan bagi Unit Penjagaan Intensif (ICU), peralatan perlindungan peribadi (PPE) dan keperluan makmal.

RM100 juta telah diluluskan bagi melantik 2,000 kakitangan kesihatan seperti doktor, jururawat, pembantu makmal dan lain-lain secara kontrak.

Sudah tentu anda lihat ia banyak namun, perlu kita ingat bajet tersebut boleh dianggap tidak mencukupi jika wabak Covid -19 berlarutan sehingga penghujung Disember 2020.

Jumlah tersebut mungkin habis diguna pakai sebelum waktu itu lagi.

Keadaan ekonomi dunia tidak baik berikutan wabak ini dan harga bagi kelengkapan penting semakin meningkat berikutan permintaan tinggi dalam sektor kesihatan.

Isu ketiadaan bahan mentah yang dihadapi oleh beberapa pengeluar merumitkan lagi proses pembekalan kelengkapan PPE.

Oleh sebab harganya meningkat, maka jumlah yang diperuntukkan kerajaan itu hanya boleh bertahan sehingga satu jangka masa pendek.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menubuhkan satu akaun baharu untuk tujuan pengumpulan dana bagi membeli kelengkapan tambahan.

Pertambahan jumlah pekerja kesihatan kontrak bagi atasi fenomena doktor letih

Berita yang disampaikan oleh Perdana Menteri berkenaan dengan peruntukan penambahan pekerja kesihatan secara kontrak menggembirakan banyak pihak.

Bukan sahaja golongan frontliner malah mereka yang kini sedang menunggu kerja.

Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan sejak 18 Mac lalu bertujuan untuk mengurangkan jumlah pesakit yang didiagnosis positif.

Ini bukan sahaja bagi membendung wabak, malah mengurangkan jumlah kes positif supaya ia dapat ditampung oleh fasiliti kesihatan yang ada.

Malaysia tidak mempunyai kebolehan seperti China untuk membina hospital dalam masa 1 minggu bagi menampung ribuan pesakit.

Penambahan pekerja kesihatan melalui bajet yang telah diluluskan kerajaan diharap dapat mengatasi masalah doktor letih.

Jika anda sedang berada di luar tanpa arah tujuan, pulanglah ke rumah.

Apabila kita mematuhi perintah kawalan pergerakan, bukan sahaja kita berlaku adil kepada masyarakat dengan tidak menyebarkan wabak, kita juga membantu pekerja kesihatan yang sedang mengerah tenaga membendung wabak.

Jika anda ingin membuat sumbangan bagi menampung kos pembelian kelengkapan untuk melawan Covid -19, boleh salurkan ke akaun (2-66016-0002347-5 – Bank RHB) atas nama Sumbangan Perubatan KKM.

Artikel ini diterbitkan di hellodoktor.com dan disemak Dr Duyen Le. Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]