Larang beri bantuan secara langsung akan timbul masalah, kata NGO

Aktivis masyarakat berkata, penyelarasan bakal menjadi masalah sekiranya mereka tidak lagi dibenarkan memberi sumbangan secara langsung kepada golongan memerlukan.

PETALING JAYA: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat secara langsung memberi bantuan kepada petugas barisan hadapan dan kumpulan yang memerlukan menyuarakan kebimbangan berhubung langkah kerajaan melarang NGO daripada menyampaikan bantuan barang asas dalam tempoh pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Bercakap kepada FMT, presiden Persatuan Graduan Universiti India Malaysia A Ravendiran Arjunan berkata, beliau bimbang arahan terbaru kerajaan itu menyebabkan berlakunya pembaziran.

Peraturan baru itu menghendaki NGO menghantar makanan dan bantuan lain ke pusat pengumpulan yang dikendalikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum ia diagihkasn oleh Rela atau Angkatan Pertahanan Awam.

Ravendiran, yang NGO pimpinannya yang bekerjasama dengan Yayasan MyNadi dan Hindu Dharmamamandharam untuk menghantar makanan ke 3 hospital awam berkata, aspek penyelarasan akan menjadi masalah.

“Kami menyediakan makanan kepada petugas barisan hadapan berdasarkan keperluan pemakanan mereka, sama ada makanan halal atau berasaskan sayur-sayuran.

“Sebelum ini kami bekerja secara langsung dengan hospital. Mereka beritahu keperluan masing-masing dan kami hantar makanan itu ke bilik operasi hospital terbabit.”

Beliau berkata, jika pada hari tertentu hospital mempunyai cukup makanan daripada penderma lain, mereka tidak akan memintanya.

Katanya, tanpa penyelarasan yang baik, orang ramai mungkin akan memberi derma yang tidak diperlukan dan ini akan menyebabkan berlakunya pembaziran.

Ravemndiran berkata, persatuannya menerima sumbangan daripada orang ramai dan ia digunakan untuk membeli makanan daripada pembekal.

“Jika kami perlu membawa makanan ke Hospital Klang, maka kami akan memesan makanan dari situ.”

Katanya, beliau bimbang mengenai kemungkinan tidak dapat memberitahu penderma bilakah makanan yang didermakan itu sampai ke tangan kumpulan sasaran.

Pada masa ini katanya, mereka menghantar gambar penyampaian sumbangan supaya penderma supaya mereka tahu bahawa wang mereka benar-benar digunakan untuk kebajikan.

Pengerusi Klima Action Malaysia (Kamy) Lili Nadiah Dzulfakar yang membantu komuniti Orang Asli berkata, mereka tidak terkesan dengan peraturan baru itu, tetapi tidak menyetujuinya.

Nadiah berkata, dalam kes Kamy, mereka bekerja secara langsung dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) untuk menyampaikan makanan kering dan barangan sanitari yang mencukupi keperluan keluarga untuk tempoh sehingga 3 minggu.

“Jakoa memberitahu kami bahawa orang luar tidak dibenarkan berhubung dengan Orang Asli bagi memastikan keselamatan mereka daripada jangkitan virus tersebut,” katanya.

Katanya, beliau tidak bersetuju dengan peraturan baru itu kerana sesetengah komuniti seperti pelarian tidak mempunyai hubungan baik dengan pihak berkuasa.

“Banyak pihak yang memerlukan bantuan seperti pelarian berasa takut kepada pihak berkuasa. Jika komuniti ini tidak dibantu sekarang, ia akan menimbulkan masalah lebih besar kemudian.

“Kerajaan sepatutnya berunding dengan pihak yang berada di lapangan. Saya harap kerajaan kaji semula dan libatkan NGO sekali.”

Joe Yap yang membantu mengagihkan makanan dan bekalan perubatan secara langsung kepada keluarga miskin dan hospital berkata, beliau tidak pasti apakah yang patut dilakukannya.

“Masih ada lagi bekalan yang tidak diagihkan. Paling penting bagi saya ialah memastikan bekalan sampai ke tangan mereka yang memerlukan.

“Saya juga bimbang sama ada kerajaan mempunyai tenaga kerja yang mencukupi untuk mengagihkan bekalan terbabit. NGO dan sukarelawan boleh membantu memobilisasi bantuan kerana mereka memang berada di lapangan dan mengenali pihak yang memerlukannya.