Pakej rangsangan dahulukan keperluan rakyat, kata penganalisis

Ahli akdemik berkata, pakej rangsangan ekonomi kerajaan bernilai RM250 bilion bertujuan memastikan rakyat mempunyai cukup makanan.

PETALING JAYA: Dua pakar ekonomi mempertahankan pakej rangsangan kerajaan berikutan kritikan daripada komuniti perniagaan dengan berkata, pakej itu bertujuan mendahulukan keperluan rakyat.

Madeline Berma.

Felo Akademi Sains Malaysia Madeline Berma berkata, pakej rangsangan itu bertujuan memastikan kebajikan rakyat dan peniaga kecil terbela.

“Jumlah RM250 bilion itu amat dialualukan. Pakej itu memberi tumpuan kepada rakyat dan perniagaan kecil dalam erti kata mempermudah aliran tunai dan kebimbangan mengenai hutang.

“Kerajaan perlu mendahulukan rakyat berpendapatan rendah,” katanya dengan menambah bahawa pakej rangsangan tersebut sangat komprehensif kerana ia meliputi semua golongan, daripada kanak-kanak kepada orang tua serta golongan bekerja atau tidak bekerja sama ada di luar bandar dan di bandar.

Beliau percaya satu lagi pakej rangsangan akan diumumkan sekiranya krisis Covid-19 berlanjutan, dan pakej tersebut berkemungkinan akan memberi perhatian kepada ekonomi makro.

Pada Jumaat, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan satu pakej rangsangan bernilai RM250 bilion.

Pelbagai pihak mengkritik inisiatif itu, termasuk Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta), Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Persekutuan Pengeluar Malaysia (FMM) dan Persatuan Peruncit Malaysia.

Mereka berkata, pakej rangsangan itu gagal menangani masalah kemapanan perniagaan dan pengekalan tenaga kerja.

Barjoyai Bardai.

Barjoyai Bardai dari Universiti Tun Abdul Razak berkata, orang ramai harus sedar bahawa matlamat pakej rangsangan tersebut ialah memastikan Kementerian Kesihatan dapat berfungsi secara optimum melalui peruntukan tambahan yang diberikan dan juga memastikan rakyat mempunyai cukup makanan.

“Isu pemulihan ekonomi tidak begitu ditangani kerana keperluan hidup keluarga di negara ini lebih penting.

Beliau berkata, tempoh pemulihan ekonomi akan hanya berlaku selepas ancaman Covid-19 berakhir.

“Persoalannya ialah bagaimanakah ia akan dibiayai.

“Saya fikir Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) akan diperkenalkan semula dan mungkin juga cukai keuntungan modal,” katanya.

Penambahan hutang kerajaan juga adalah satu alternatif lain.

Bekas pensyarah di Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia Denison Jayasooria berkata, pakej rangsangan itu adalah usaha yang baik kerana pemberian tunai sangat diperlukan oleh golongan B40, walaupun maklumat lanjut berhubung pelaksanaannya perlu disediakan.

“Kebimbangan SME juga perlu dipandang serius berikutan kesan jangka panjangnya ke atas proses pemulihan.”

Jayasooria, yang menjalankan penyelidikan mengenai kemiskinan bandar selama lebih 25 tahun berkata, pakej rangsangan itu dirangka bagi menangani kebimbangan di peringkat akar umbi.

Denison Jayasooria.

Beliau berkata, keabsahan kerajaan bukanlah perkara utama kerana ia bekerja dengan baik dan menteri kewangan yang baru berjaya memupuk keyakinan walaupun sekiranya hutang negara bertambah.

Ekonomi negara katanya, lambat laun akan pulih dalam tempoh lebih panjang.

Beliau berkata, kepimpinan yang lebih terbuka kepada kepelbagaian pandangan dan bersedia berunding sangat diperlukan.

Katanya, Putrajaya tidak akan berjaya melakukannya secara bersendirian, sebaliknya syarikat yang memperoleh keuntungan dalam tempoh 2 hingga 5 tahun lepas mesti mengongsi beban yang dihadapi negara.

Jayasooria berkata, semua pemegang taruh, sama ada kerajaan, sektor swasta atau NGO mesti bekerjasama.

“Setakat ini mobilisasi dwipartisan belum berlaku.

Katanya, krisis Covid-19 merupakan peluang baik kepada usaha pemulihan dan pembinaan semula negara.