7 kampung di Sungai Lui, Hulu Langat dikenakan PKPD

Anggota polis, tentera, Angkatan Pertahanan Awam dan Rela akan mengawal Batu 21 hingga Batu 24 di Sungai Lui bagi memastikan pematuhan PKPD sepenuhnya.

PETALING JAYA: Menteri Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob mengumumkan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) dilaksanakan di Batu 21 hingga Batu 24 Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor disebabkan 71 kes positif Covid-19 daripada 274 penghuni Maahad Tahfiz An Nabawiyyah di Batu 23.

Katanya, perintah itu akan berkuat kuasa mulai tengah malam ini hingga 13 April ini ke atas 3,918 penduduk daripada 700 rumah di kawasan itu, termasuk 2 kampung Orang Asli dan 5 kampung Melayu.

“Mengambil kira jumlah kes yang tinggi di sekolah tersebut, kerajaan atas nasihat menteri kesihatan memutuskan untuk melaksanakan PKPD, arahan ke-2 selepas Simpang Renggam.

“Tujuan PKPD dilaksanakan untuk membendung jangkitan Covid-19 daripada menular keluar dari kawasan tersebut.

“Langkah ini akan membolehkan aktiviti pengesanan kes dari rumah ke rumah dilaksanakan sepanjang tempoh 14 hari,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau meminta semua penduduk bertenang dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada petugas Kementerian Kesihatan serta mematuhi arahan pihak berkuasa.

Katanya, penduduk yang memerlukan bantuan atau mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi talian khas 03-89254809 atau 03-89114200.

Berikut syarat PKPD:

  • Semua penduduk dan pelawat yang sudah berada di kawasan itu tidak dibenarkan keluar rumah sepanjang tempoh PKPD dikuatkuasakan.
  • Bukan penduduk dan pelawat tidak dibenarkan masuk ke kawasan itu sepanjang tempoh PKPD dikuatkuasakan.
  • Semua aktiviti perniagaan dihentikan.
  • Makanan asas yang mencukupi untuk tempoh 14 hari akan dibekalkan kepada semua penduduk oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat.
  • Pangkalan perubatan akan dibuka di kawasan PKPD.
  • Semua laluan keluar masuk kawasan PKPD ditutup.
  • Bagi memastikan pematuhan PKPD, anggota polis, tentera, Angkatan Pertahanan Awam dan Rela akan mengawal seluruh kawasan terbabit.

Khamis lalu, kerajaan menguatkuasakan PKPD di Kampung Dato Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato Ibrahim Majid di Simpang Renggam, Kluang susulan lonjakan kes Covid-19.

Kira-kira 3,500 penduduk di 2 kawasan itu tidak dibenarkan keluar dari rumah dan semua aktiviti perniagaan dihentikan.